Hawa FT terikat seri dengan XII Brothers

Hawa FT terikat seri dengan XII Brothers

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Dua perlawanan Kumpulan E Futsal Piala Perdana TelBru 2015 malam tadi menghasilkan dua keputusan berbeza iaitu keputusan seri tertinggi, 8-8, antara Hawa FT dengan XII Brothers dan jaringan terendah, 1-0, kemenangan DST FC ke atas TelBru. Jaringan tunggal perlawanan antara DST FC dengan TelBru hanya menjelma pada minit ke-35 perlawanan yang dijaringkan oleh Ahmad Aiman untuk memberikan DST FC tiga mata penuh.

Sementara perlawanan lebih awal sangat menghiburkan penonton yang hadir ke Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) bagi menyaksikan apabila mereka disajikan dengan 16 jaringan gol.

Kedua-dua pasukan terikat 5-5 pada separuh masa pertama sebelum kedua-dua pasukan masing-masing menambah tiga gol lagi pada separuh masa kedua.

Jaringan babak pertama Hawa FT disumbangkan oleh Abdul Naim pada minit ke-3, disusuli dengan hatrik Mohd Farith pada minit ke-8, ke-12 dan ke-16, dan kemudiannya Syarif Ehsan pada minit ke-18. Gol-gol XII Brothers pula dijaringkan oleh Mohd Zulfahri pada minit ke-2, Abdul Aiman pada minit ke-5, Md Khairuddin pada minit ke-12 dan ke-13, dan Mohd Azyzan pada minit ke-14.

Pertembungan dua kapten dalam saingan menarik Kumpulan E yang mempertemukan TelBru (jingga) dengan DST yang berkesudahan 1-0 dimenangi DST.
Pertembungan dua kapten dalam saingan menarik Kumpulan E yang mempertemukan TelBru (jingga) dengan DST yang berkesudahan 1-0 dimenangi DST.

Syarif Ehsan membuka tirai jaringan babak kedua Hawa FT pada minit ke-24 untuk kedudukan 6-5, tetapi dua minit kemudian kedudukan menjadi 6-6 apabila Ahmad Jamalul meledakkan jaringan buat XII Brothers. Namun Mohd Farith menjaringkan gol keempat peribadinya malam tadi pada minit ke-29 untuk Hawa FT kembali di depan, 7-6.

Namun kedudukan segera berubah dengan jaringan Mohd Azyzan pada minit ke-31 untuk XII Brothers, catatan hatrik Syarif Ehsan untuk Hawa FT pada
minit ke-31 dan gol penyelamat satu mata XII Brother pada minit terakhir perlawanan oleh Awangku Mohd Safri. Selepas masing-masing mengharungi dua perlawanan dan hanya berbaki satu perlawanan saja lagi, XII Brothers setakat ini di puncak Kumpulan E dengan 4 mata, disusuli DST FC dengan 3 mata, Hawa FT dengan 2 mata, dan TelBru dengan 1 mata.

ARTIKEL YANG SAMA