HAWA NDP laksana Jejak Ehsan

HAWA NDP laksana Jejak Ehsan

KUALA BELAIT, 17 Julai – Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (HAWA NDP) meneruskan Program Jejak Ehsan Ramadan dengan mengunjungi beberapa buah keluarga yang memerlukan bantuan di Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Brunei dan Muara.

Dalam kunjungan di Daerah Belait, rombongan telah menghulurkan sumbangan kepada dua buah keluarga iaitu keluarga Awang Salihin bin Osman di Kampung Sungai Teraban yang kehilangan anak bongsu mereka dalam satu tragedi disambar buaya pada 5 Julai lalu.

Rombongan yang diketuai oleh Ketua Himpunan Wanita Pusat, NDP, Hajah Sa’emah turut berkunjung ke kediaman Haji Hamzah bin Ibrahim, di RPN Kampung Pandan 7 dekat sini, sambil menghulurkan sumbangan berupa keperluan makanan dan lainnya.

Turut serta dalam rombongan tersebut ialah Timbalan Ketua Himpunan Wanita Pusat, Dayang Kartini binti Abdul Manap; Setiausaha, Dayang Hadijah binti Abdullah; dan beberapa orang ahli exco himpunan tersebut serta ahli-ahli daripada Badan Perhubungan NDP Daerah Belait.

Rombongan HAWA NDP, semasa berkunjung ke kediaman Awang Salihin di Kampung Sungai Teraban, bergambar ramai dengan rombongan Persatuan We Care yang turut mengunjungi keluarga itu bagi menghulurkan bantuan mereka.
Rombongan HAWA NDP, semasa berkunjung ke kediaman Awang Salihin di Kampung Sungai Teraban, bergambar ramai dengan rombongan Persatuan We Care yang turut mengunjungi keluarga itu bagi menghulurkan bantuan mereka.

Projek Jejak Ehsan Ramadan merupakan sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan berterusan yang dilaksanakan oleh HAWA NDP sejak pertubuhan itu ditubuhkan pada tahun 2006 lalu.

Ia antara lain bertujuan untuk menanamkan semangat perpaduan antara ahli-ahlinya, terutama dalam kalangan ahli wanita.

Di samping itu juga, untuk menyemai semangat sentiasa menggiatkan diri dalam berbagai kerja amal dan berkebajikan dalam sama-sama membantu masyarakat yang memerlukan.

Melalui projek ini juga, HAWA NDP telah mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Derma Anak Yatim pada 13 Jun lalu yang berlangsung di Kampung Madang, Daerah Brunei dan Muara.