HAWA NDP lawat Kelas Lanjutan SR Danau

HAWA NDP lawat Kelas Lanjutan SR Danau

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

TUTONG, 24 Mei – Rombongan Himpunan Wanita Pusat Parti Pembangunan Bangsa (HAWA NDP), hari ini, telah mengadakan lawatan ke Kelas Lanjutan Sekolah Rendah Danau di sini.

Rombongan yang diketuai oleh Ketua HAWA NDP, Dayang Kartini Abdul Manap itu antara lain bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara ahli-ahli dengan pelajar-pelajar kelas lanjutan sekolah tersebut.

Di samping itu, ia juga merupakan salah satu aktiviti bagi menambahkan pengetahuan dan pengalaman ahli-ahli wanita pertubuhan tersebut.

Guru kelas lanjutan tersebut, Hajah Noralam binti Haji Metalib menjelaskan, pada masa ini terdapat lebih 20 pelajar mengikuti kelas berkenaan yang diadakan setiap hari Ahad dan setiap minggu akan disediakan dua resipi untuk diajar seperti yang telah dijadualkan oleh Kelas Lanjutan Kementerian Pendidikan.

Menurut beliau, yang telah mengajar selama 42 tahun di sana, pelajar-pelajar kelas lanjutan di sekolah itu adalah dalam kalangan mereka yang tinggal di kawasan Bukit Beruang, Bukit Bendera, Danau, Telisai dan kawasan lainnya di Daerah Tutong.

Rombongan HAWA NDP bergambar ramai bersama pelajar-pelajar Kelas Lanjutan Sekolah Rendah Danau Tutong.
Rombongan HAWA NDP bergambar ramai bersama pelajar-pelajar Kelas Lanjutan Sekolah Rendah Danau Tutong.
Rombongan melihat cara-cara membuat kuih popia rumpai laut.
Rombongan melihat cara-cara membuat kuih popia rumpai laut.

Ramai kalangan pelajar kelas tersebut terdiri daripada warga emas, cuma ada beberapa orang sahaja kalangan belia yang aktif menyertai, tambah beliau.

“Kelas kami bermula dari pukul 8 pagi hingga 11 pagi, dan pelajar di sini diajarkan berbagai jenis masakan dan kuih-muih, dan setiap kali kelas, akan diajarkan dua resepsi yang telah ditetapkan,” jelas Hajah Noralam lagi.

Beliau juga memberitahu, hasil daripada apa yang dipelajari, ramai juga dalam kalangan pelajar-pelajar kelas itu membuat perniagaan kecil-kecilan untuk menjadikannya pendapatan sampingan, selain menyertai pameran-pameran masakan, dan akan mendapatkan tempahan kuih-muih keperluan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Hajah Noralam melahirkan harapan supaya peserta kelas lanjutan akan terus berkembang dengan lebih maju, terutamanya dengan penglibatan dalam kalangan para belia, supaya apa yang diajarkan akan dapat dijadikan hasil pendapatan dan memajukan diri mereka, terutama sekali kepada mereka yang belum mempunyai pekerjaan tetap.

Sesi lawatan turut diceriakan lagi dengan acara ramah mesra antara rombongan pelawat dengan pelajar-pelajar kelas lanjutan tersebut, malah para pelawat juga tidak ketinggalan berpeluang mencuba membuat popia rumpai laut bersama-sama dengan para pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA