HAWA turut rai Hari Keluarga

HAWA turut rai Hari Keluarga

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Lebih 50 ahli Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (HAWA NDP) meraikan Hari Ukhuwah Keluarga yang diadakan di Kafe Rizqun di sini, kelmarin.

Majlis antara lain bertujuan mengeratkan silaturahim antara ahli-ahli himpunan itu dan ahli-ahli Parti Pembangunan Bangsa lain.

Hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Himpunan Wanita Pusat, Dayang Kertini binti Abdul Manap, serta ahli-ahli Majlis Tertinggi NDP termasuk Naib Presiden Daerah Brunei dan Muara NDP, Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, Ketua Pemuda NDP, Pengiran Shahrilan Pengiran Haji Ahmad, Penolong Setiausaha Agung, Pengiran Nurul Azadah Muhdiyatul Ehsan, Ketua Biro Pendidikan NDP, Dr Hajah Raayah binti Haji Mohd Ali, Ketua Biro Kemasyarakatan, Hajah Asmah binti Haji Pulut, Ketua Biro Keselamatan, Awang Mohd Abdullah Peter dan Awang Mohd Tahir bin Radin.

Sambutan Hari Keluarga HAWA NDP merupakan salah satu kegiatan yang diadakan setiap tahun, termasuk diadakan di kawasan-kawasan pedalaman pada tahun lalu, untuk beriadah dan mengunjungi kalangan ahli-ahli wanita yang tinggal di kawasan luar bandar seperti di Kampung Bebuloh, Ukong, Rambai dan sebagainya.

Antara ahli-ahli Himpunan Wanita NDP yang menyertai Majlis Ukhuwah Keluarga HAWA NDP di K afe Rizqun Gadong.
Antara ahli-ahli Himpunan Wanita NDP yang menyertai Majlis Ukhuwah Keluarga HAWA NDP di K afe Rizqun Gadong.

Dalam ucapan alu-aluannya Dayang Kertini, menyeru semua ahli-ahli pertubuhan itu khususnya dalam kalangan kaum wanita, untuk terus mengeratkan ukhuwah kekeluargaan dan sentiasa menyertai dengan aktif apa juga aktiviti yang dianjurkan termasuk aktiviti kemasyarakatan mereka dalam Program Jejak Ehsan.

Sementara itu, Dr Hajah Raayah memberitahu Media Permata, pada masa ini, mereka juga bergiat mengumpulkan berbagai-bagai barangan untuk dijadikan sumbangan apa jua kegiatan kemasyarakatan termasuk bagi mangsa kebakaran, banjir dan sebagainya dan ditempatkan di sebuah ruang yang disediakan dinamakan Bilik Arrezki, di kediaman beliau sendiri di Jalan Jerudong.

“Sebahagian barangan tersebut berupa sumbangan daripada saya dan kaum keluarga seperti pakaian Muslimah, beg-beg tangan serta pakaian anak-anak damit, serta telekung.

“Alhamdulillah, saya turut menerimanya daripada kalangan ahli-ahli HAWA NDP dan ada juga yang sudah disumbangkan kepada mereka yang mengalami masalah banjir dan kepada saudara baru di Keningau, Sabah,” katanya.