Hayati bacaan Al-Quran sejak dari kecil lagi

Hayati bacaan Al-Quran sejak dari kecil lagi

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 12 Mei – Bagi memupuk murid-murid menghayati bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui cawangan Daerah Tutong telah menganjurkan Pertandingan Menghafaz Ayat-ayat Lazim Sekolah-sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta bagi kawasan Tutong 1 ke-27 yang diadakan di Dewan Serba guna Sekolah Rendah Keriam, Tutong, pagi tadi.

Bagi kategori lelaki, dengan mendapat markah 93 peratus, Awang Mohd Raziq Anaqi bin Suhaili dari Sekolah Nusa Jaya Keriam menduduki tempat pertama, dengan diikuti oleh Awang Mohd Faris Hisyam bin Faizal dari Sekolah Chung Hwa Tutong dengan 91 peratus di tempat kedua dan Awang Mohd Alwi bin Rafian dari Sekolah Rendah Binturan dengan 90 peratus di tempat ketiga.

Sementara itu, bagi murid perempuan, juara disandang oleh Dayang Nur Ameerah Aleesya binti Awang Rossahlehzam dari Sekolah Rendah Sinaut dengan 88 peratus, manakala itu, Dayang Nur Insyirah binti Muhd Saifuddin dari Sekolah Rendah Keriam mendapat tempat kedua dan Dayang Nur ‘Ameera Hakeemah binti Shahraimi dari Sekolah Rendah Lamunin di tempat ketiga.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Pendidikan Tingkat Khas, Dayang Rasiah binti Haji Mohd Tuddin yang juga merupakan Guru Besar Sekolah Rendah Keriam Tutong.

Semasa pertandingan menghafaz di-jalankan di Dewan Serbaguna, Sekolah Rendah Keriam.
Semasa pertandingan menghafaz di-jalankan di Dewan Serbaguna, Sekolah Rendah Keriam.

Seramai 34 orang murid iaitu 16 murid lelaki dan 18 murid perempuan dari 18 buah sekolah rendah kerajaan dan swasta telah mengikuti pertandingan tersebut.

Semasa pertandingan, setiap peserta perlu memilih antara satu surah yang mana peserta lelaki perlu memilih Surah Al-A’ala, Ash-Shams, atau Al-Lail, dan peserta perempuan perlu memilih Surah Al-Tariq, Al-Balad atau Surah Ad-Duha.

Pada tahun ini, pertandingan dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum Cawangan Daerah Tutong selaku tuan rumah.

Adapun objektif utama pertandingan adalah untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran dan kefahaman beragama dengan menghayati bacaan ayat-ayat Suci al-Quran dalam kalangan murid-murid sekolah rendah kerajaan dan swasta.

Selain itu, melalui pertandingan ini, ia akan dapat mengasah bakat dan kebolehan mereka dalam bidang menghafaz ayat-ayat lazim dan mendidik murid-murid agar mencintai Al-Quran sebagai satu budaya yang wajib diutamakan dalam kehidupan mereka.