Hayati hijrah

Hayati hijrah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Sejarah membuktikan peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W bersama sahabat dan pengikut-pengikut Baginda dari Mekah Mukarramah ke Madinatul Munawwarah membuka lembaran sejarah paling agung bukan saja dalam perkembangan agama Islam tetapi juga kepada pada tamadun manusia keseluruhannya.

Melalui Hijrah, Baginda dapat melahirkan umat yang bersatu padu, bersaudara, dihormati dan menjadi contoh malah dapat melahirkan kemakmuran yang dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat secara adil dan saksama.

Khatib dalam Khutbah Jumaat menekankan perkara itu, menambah, sambutan awal tahun baru hijrah bertujuan mengajak umat Islam supaya menghayati konsep hijrah yang pernah dilalui oleh Baginda Rasulullah S.A.W.

“Hijrah juga menuntut kita untuk melakukan pengorbanan demi melaksanakan segala perintah Allah, ini kerana hijrah itu sendiri merupakan perubahan yang memerlukan pengorbanan,” tambahnya.

Menurut khatib, tiada perubahan ke arah yang lebih baik dan cemerlang yang tidak memerlukan pengorbanan di mana perubahan adalah tuntutan hidup dari sesuatu yang tidak baik kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang lebih baik, daripada sifat Mazmumah kepada sifat Mahmudah.

Dalam perkara ini, jelas khatib mengingati peristiwa Hijrah Baginda Rasulullah S.A.W bukan sekadar menyebut dan mengingati peristiwa bersejarah itu sahaja tetapi yang lebih penting menghidupkan erti sebenar hijrah dalam kehidupan seharian.

“Ulama juga telah membahagikan hijrah kepada tiga bahagian, iaitu Hijrah Al Hammah iaitu hijrah Baginda bersama sahabat dari Mekah Mukarramah ke Madinatul Munawwarah yang mana hijrah ini hanya berlaku sekali saja dalam Islam,” tambahnya.

Kedua, Hijrah Ad-Da’imah iaitu, berpindah dari negara yang mengancam akidah penganut Islam ke negara lain demi menyelamatkan akidah dan keimanan serta mempertahankan agama.

Manakala ketiga ialah Hijrah Al-Qulub Wadhamahir iaitu hijrah hati, keimanan dan keyakinan dengan cara meningkatkan iltizam kepada Islam, berusaha menyucikan hati, menambah keimanan dan mendalami kefahaman mengenai Islam.

Dengan cara itu, jelas khatib, peningkatan ke arah keimanan, berilmu dan beramal akan terus berkembang, yang mana inilah kemajuan yang sebenar iaitu hijrah menukar keadaan ke arah yang lebih baik dan lebih dekat kepada Allah dan berubah keadaan lebih beriman, berilmu dan berakhlak dengan ajaran Islam.

“Hijrah seperti inilah yang utama dan mesti dilakukan bagi setiap individu Muslim sendiri yang mukalaf.”

Bukan setakat itu, setiap Muslim juga diseru membuat persediaan dari pelbagai aspek seperti aspek keimanan, daya tahan dan daya juang untuk mempertahankan akidah dan agama, walaupun terpaksa berhijrah buat sementara sebagai langkah mencari kekuatan dan kemantapan untuk meneruskan jihad.

Sehubungan itu, sempena menyambut awal tahu baru hijrah, khatib menyeru supaya sama-sama melakukan perubahan dan membina pembangunan diri, agama, bangsa dan negara sesuai dengan tema tahun ini, ‘Berhijrah Untuk Membangun’.

ARTIKEL YANG SAMA