Hayati lagu k...

Hayati lagu kebangsaan, hormati bendera negara

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan telah meneruskan lagi Program Taklimat Kenegaraan ‘Menghayati Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara’ yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit, pagi tadi.

Taklimat yang dihadiri oleh seramai 267 orang pelajar Tahun 7 itu telah disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Awang Mohammad Rainie bin Haji Durani, yang antara lain, menyentuh mengenai tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci serta cara-cara penghapusan bendera dan lambang panji-panji negara.

Selepas taklimat, para pelajar turut menyaksikan klip video ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’, video animasi ‘Tatacara Pengibaran Bendera Negara’ dan turut menyertai Kuiz Kenegaraan yang dikendalikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Awang Isa bin Haji Abdul Rahman.

Awang Mohammad Rainie (kiri) semasa menyampaikan taklimat kenegaraan.
Awang Mohammad Rainie (kiri) semasa menyampaikan taklimat kenegaraan.

Program itu kemudian diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada 10 orang pelajar yang berjaya menjawab kuiz dan penyampaian cenderamata kepada pihak sekolah.

Ia merupakan usaha berterusan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri dalam menyemai semangat patriotik dalam kalangan pelajar untuk menghormati serta menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara.

Turut hadir pada taklimat itu ialah Timbalan Pengetua sekolah berkenaan, Awang Norhisyam bin Haji Mohd Noor.