Hayati lagu kebangsaan negara

Hayati lagu kebangsaan negara

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 12 Nov – Program Taklimat Kenegaraan Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan, telah diteruskan bagi sekolah-sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi seluruh negara, dengan tumpuan kali ini di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB), di sini, hari ini.

Lebih 70 orang pelajar serta tenaga pengajar IBTE Kampus MKJB, menghadiri taklimat anjuran Jabatan Penerangan Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Penerangan Cawangan Daerah Belait berkenaan.

Majlis telah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, kemudian menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu patriotik bendera negara.

Taklimat bertajuk ‘Menghayati Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara’ telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan Cawangan Daerah Belait, Awang Hasanul Hidayat bin Haji Abu Bakar.

Beliau antara lain menyatakan, bendera merupakan lambang identiti sesebuah negara dan bangsanya, ia juga menjadi lambang kesepakatan dan perpaduan yang mempunyai kemuliaan, keagungan dan martabatnya yang tersendiri yang perlu mendapat pengiktirafan dan penghormatan oleh setiap bangsa dan negara di dunia.

Kira-kira lebih 70 orang pelajar daripada pelbagai bidang kursus IBTE Kampus MKJB dan tenaga pengajarnya menghadiri Program Taklimat Kenegaraan Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan.
Kira-kira lebih 70 orang pelajar daripada pelbagai bidang kursus IBTE Kampus MKJB dan tenaga pengajarnya menghadiri Program Taklimat Kenegaraan Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan.

“Menyanyikan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan menaik-kibarkan bendera Negara Brunei Darussalam merupakan antara pendidikan awal para pelajar ke arah menimbulkan semangat kenegaraan dan kesedaran hidup berbangsa, beragama dan bernegara,” kata beliau.

Rasionalnya, semangat cinta kepada raja, agama, bangsa dan negara perlu disemai di peringkat generasi muda terutama pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi, dan generasi muda perlu dilatih untuk memiliki semangat patriotisme mantap dan taat setia yang jitu serta kental yang tidak pernah akan goyah untuk menghadapi apa jua cabaran yang boleh memudaratkan bangsa dan negara.

“Antara lain kewajiban mereka selaku rakyat dan penduduk di negara ini ialah belajar mengenal, menghormati, menjaga dan memelihara maruah serta identiti negara. Generasi baru adalah penerus pejuang bangsa yang akan sentiasa menjaga imej dan maruah bangsa dan negara,” ujarnya.

Program taklimat yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan semangat patriotisme para pelajar mengenai lagu kebangsaan dan bendera Negara Brunei Darussalam, ini merupakan usaha berterusan Jabatan Penerangan dengan hasrat untuk menyemai semangat patriotisme kepada kalangan pelajar serta untuk menghormati dan menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara.

Program yang sama telah diadakan di kesemua sekolah rendah kerajaan sebelum ini dan kini dilaratkan ke sekolah-sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA