Hayati pengibaran bendera negara

Oleh Normazlina M.D

Gambar oleh Infofoto

 

TUTONG, 3 Julai – Bagi menggalakkan dan membudayakan amalan pengibaran bendera negara di kalangan rakyat dan penduduk di negara ini, Program Menghayati Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 tahun bagi Daerah Tutong telah diadakan di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Perindustrian), di Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pegawai Daerah Tutong, pegawai-pegawai kanan kerajaan, persatuan-persatuan, pasukan-pasukan beruniform, premis-premis perniagaan, syarikat swasta, guru-guru sekolah serta penduduk-penduduk mukim dan kampung di Daerah Tutong.

Majlis tersebut turut diserikan dengan ceramah khas mengenai program menghayati pengibaran bendera yang telah disampaikan oleh Timbalan Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

Haji Mohamad Azmi ketika hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Haji Mohamad Azmi ketika hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Program seumpamanya diadakan bertujuan bagi menanamkan kesedaran kepada rakyat dan penduduk di negara ini terhadap peranan dan tanggungjawab mereka untuk menaikkan dan mengibarkan bendera negara semasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan.

Selain itu, ceramah tersebut juga diharap dapat meningkatkan rasa hormat dan sayang terhadap bendera negara, yang mana bendera merupakan simbol keagungan dan kedaulatan raja, bangsa dan Negara.

Terdahulu, program diserikan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Hazwan Hamizan bin Haji Haminuddin dan bacaan Ratib Al-Attas serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Program Menghayati Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 tahun ini juga diadakan secara serentak di keempat-empat daerah kelmarin.

SAHAM
TerdahuluTurki, Greece panas melampau
SeterusnyaGenerasi skrin