Hayati pengibaran bendera

Hayati pengibaran bendera

Oleh Pg Fairol RMF, Sim Y. H.,

Hajah Saemah Kepli & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Bendera Negara Brunei Darussalam merupakan simbol keagungan dan kedaulatan raja, bangsa dan negara di mana ia merupakan teras sesebuah negara dan rakyat dan penduduk negara harus mempertahankan keagungan simbol raja dan negara berkenaan.

Dalam perubahan zaman moden yang pesat termasuk kewujudan media sosial dan teknologi maklumat, peranan bendera negara tidak kurang pentingnya yang mana adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat dan penduduk negara untuk mempertahankan simbol negara itu.

Penekanan itu merupakan antara matlamat Program Menghayati Pengibaran Bendera Negara Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69, yang diadakan secara serentak di keempat-empat daerah anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Di Daerah Brunei dan Muara, program diadakan di Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien; Daerah Tutong di Masjid Hassanal Bolkiah; Daerah Belait di Masjid Muhammad Jamalul Alam; dan Masjid Utama Mohammad Salleh bagi Daerah Temburong.

Program di Daerah Brunei dan Muara telah dihadiri oleh lebih 600 jemputan, dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Abdul Wahab bin Juned.

Pemangku Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Abdul Wahab hadir selaku tetamu kehormat majlis di Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien.
Pemangku Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Abdul Wahab hadir selaku tetamu kehormat majlis di Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien.
Haji Mohd Rozan serta para peserta yang menghadiri program di Masjid Hassanal Bolkiah.
Haji Mohd Rozan serta para peserta yang menghadiri program di Masjid Hassanal Bolkiah.
Kira-kira 300 orang menghadiri Program Menghayati Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam di Masjid Muhammad Jamalul Alam Pekan Belait.
Kira-kira 300 orang menghadiri Program Menghayati Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam di Masjid Muhammad Jamalul Alam Pekan Belait.

Manakala itu, hadir selaku tetamu kehormat di Daerah Tutong bersama lebih 300 jemputan ialah Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet), Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, dan Setiausaha Tetap (Industri Hiliran dan Tenaga) Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi hadir selaku tetamu kehormat di Masjid Muhammad Jamalul Alam bersama kira-kira 300 jemputan.

Sementara itu, di Daerah Temburong, program dihadiri oleh Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Juanda bin Haji Abdul Rashid, juga bersama lebih 300 jemputan.

Tetamu Kehormat bersama para tetamu yang hadir pada program di Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar. – Gambar Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

Acara di keempat-empat daerah dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai daerah, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai-pegawai beruniform, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, serta para pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta.

Program yang berunsurkan keagamaan itu dilaksanakan bersesuaian mengikut konsep dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan ceramah khas yang mengetengahkan mengenai bendera dalam Islam yang berkaitan dengan semangat patriotisme dan nasionalisme.

Untuk memberkati program itu, Ratib Al-Attas dibacakan sebelum diakhiri dengan bacaan Doa “Allah Peliharakan Sultan.”

Program itu dihasratkan untuk menanam dan meningkatkan kesedaran rakyat dan penduduk mengenai peranan dan tanggungjawab menaikkan dan mengibarkan bendera negara semasa Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69.

Ia juga diharap dapat meningkatkan rasa hormat dan sayang rakyat serta penduduk negara terhadap bendera negara yang merupakan simbol keagungan dan kedaulatan raja, bangsa dan negara.

ARTIKEL YANG SAMA