Hayati Ramadan dengan penuh keimanan

Hayati Ramadan dengan penuh keimanan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei, hari ini, telah mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran yang diisikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Hakikat Ramadan’.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong itu ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam.

Turut hadir ialah Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, Mohammad Irwan bin Haji Hambali, pemangku timbalan pesuruhjaya polis, para pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.

Pada majlis itu, ceramah telah disampaikan oleh penceramah undangan Awang Hilman bin Haji Salim yang merupakan lepasan Universiti Kaherah, Mesir.

Warga Pasukan Polis Diraja Brunei semasa mendengarkan ceramah pada majlis itu.
Warga Pasukan Polis Diraja Brunei semasa mendengarkan ceramah pada majlis itu.

Beliau antara lain menekankan bahawa Ramadan merupakan bulan penuh berkat dan keampunan daripada Allah Subhanahu Wata’ala (S.W.T), pahala ibadah dilipatgandakan dan Allah S.W.T menjanjikan pengampunan dosa bagi sesiapa yang berpuasa penuh dengan keimanan dan keikhlasan di samping menahan nafsu lapar dan dahaga.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan solat sunat Hajat berjemaah yang diimamkan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO SM 6924 Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Matahir, dan diteruskan dengan solat fardu Zohor berjemaah.

Selepas ceramah khas, majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh imam surau berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA