Hazard kembali beraksi

Hazard kembali beraksi

LONDON, 1 Dis (Reuters) – Pemain tengah Chelsea Eden Hazard berkata, dia seronok dapat kembali beraksi selepas diketepikan pada awal musim gara-gara prestasi tidak menentu yang dipamerkannya.

Pemain Belgium itu turun ketika pasukannya seri tanpa jaringan menentang pesaing London, Tottenham Hotspur apabila pengurus Chelsea Jose Mourinho merehatkan penyerang Diego Costa.

Mourinho berkata, Hazard mempamer aksi terbaiknya musim ini pada perlawanan menentang Spurs dan beliau memuji semangat juang yang dipamerkan bintang Belgium berkenaan dan hampir menghasilkan jaringan di babak pertama permainan.

Walaupun gagal merobek gawang lawan, Hazard gembira dengan satu mata yang diperoleh ketika menentang Spurs yang memegang rekod 13 perlawanan tanpa kalah.

“Bukan mudah bermain di Tottenham … tetapi saya rasa seri adalah satu keputusan yang baik,” kata Hazard.

“Terdapat banyak pergerakan serta hantaran bola antara kami. Ia bukan mudah, tetapi kami menjalankan tugas dengan baik dan kami juga cuba menjaringkan gol. Kami seronok dapat bermain bersama.

“Saya rasa kami sepatutnya berhak menjaringkan gol kerana kami mempamer permainan menarik.”