Helang pemakan monyet menetas di Filipina

Helang pemakan monyet menetas di Filipina

MANILA, 10 Dis – Burung helang yang memakan monyet menetas dalam kurungan di Filipina, sekali gus menggalakkan usaha menangani kepupusan burung gergasi yang amat terancam itu.

Hanya ditemui di hutan hujan tropika yang pantas hilang di Filipina, burung pemangsa yang 3.3 kaki panjang mendapat namanya dari makanannya iaitu monyet ekor pendek, macaque dan haiwan kecil lain yang berkongsi habitatnya di Mindanao, pulau selatan utama negara tersebut.

Anak burung itu menetas di pusat pemuliharaan pada 7 Disember, adalah yang pertama dalam tempoh dua tahun dan ke-26 dalam tempoh 23 tahun, menurut kurator Yayasan Burung Helang Filipina, Anna Mae Sumaya.

Baru berusia seminggu, anak burung ini sangat aktif dan sudah pun boleh mengangkat kepalanya dan memberi respons kepada kicauan burung, katanya.

“Anak burung ini akan bertahan.”

Gambar fail menunjukkan seekor helang Filipina bersama mangsanya seekor monyet di atas dahan sebatang pokok di habitatnya di Mindanao, pulau selatan Filipina.
Gambar fail menunjukkan seekor helang Filipina bersama mangsanya seekor monyet di atas dahan sebatang pokok di habitatnya di Mindanao, pulau selatan Filipina.

Juga dipanggil burung helang Filipina, burung ini terkenal dengan bulu tengkuk yang panjang tirus, terbentuk menjadi jambul berjumbai-jumbai. Panjang sayapnya dua meter menjadikannya antara burung helang yang terbesar di dunia.

“Ini memberikan kami harapan untuk mampu menambah populasi burung helang Filipina,” Sumaya memberitahu AFP.

Burung pemangsa ini hanya boleh ditemui di Filipina, yang mana ia adalah burung kebangsaan negara.

Terdapat kira-kira 600 burung helang pemakan monyet hidup liar dan 34 lagi, termasuklah yang sedang menetas, ditempatkan di dalam kurungan besar di pusat berkenaan.

Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Semula Jadi di Switzerland, menyenaraikan spesies ini sebagai “amat terancam” disebabkan pemburuan dan pengurangan habitatnya.

Tembakan senjata diperkira bagi sembilan dalam setiap 10 kematian burung helang Filipina menurut yayasan itu, yang juga memberi amaran ia kehabisan tempat selamat untuk membebaskan burung-burung yang dibiakkan dalam kurungan apabila mereka matang. – AFP