Helang terancam Filipina ditembak mati

Helang terancam Filipina ditembak mati

MANILA, 19 Ogos – Spesis terancam burung helang besar Filipina telah ditembak mati dua bulan selepas dilepaskan kembali kepada hidupan liar setelah menerima rawatan, juga kerana ditembak, dalam satu tamparan hebat kepada usaha untuk menyelamatkan spesis itu dari pupus, menurut penyokong pemuliharaan hari ini.

Bangkai burung pemangsa itu ditemui di sebuah hutan pada hujung minggu lalu dengan kecederaan akibat tembakan di bahagian dada kanannya, tiga tahun selepas ia diselamatkan dan dirawat, menurut Yayasan Burung Helang Filipina.

Itu adalah burung helang ke-30 ditemui mati atau tercedera, daripada bilangan penduduknya yang hanya 400 pasang dalam kehidupan liar, yang terutamanya menghuni kawasan luas selatan pulau Mindanao, menurut pengarah eksekutifnya, Joseph Salvador.

“Malangnya, seseorang yang bersenjatakan senapang berpendapat dia boleh menembak apa saja,” Salvador memberitahu AFP, dengan menambah kata tidak sesiapa pun diberkas dalam kejadian terbaru ini.

“Potensi untuk mengajar orang ramai tentang pentingnya burung helang dalam hidupan liar dan biodiversiti telah terjejas.”

Seekor helang besar Filipina yang kini diancam kepupusan.
Seekor helang besar Filipina yang kini diancam kepupusan.

Terkenal dengan bulu tengkuk yang panjang tirus yang terbentuk menjadi jambul berjumbai-jumbai, burung helang Filipina, salah satu jenis terbesar di dunia, boleh membesar sehingga satu meter panjang, dengan kepak sepanjang dua meter.

Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Semula jadi di Switzerland menyenaraikan spesis-spesis ini sebagai “yang benar-benar terancam”, disebabkan pengurangan habitat hutan hujan tropikanya dan pemburuan.

Burung helang Filipina membunuh spesis monyet macaque dan haiwan lebih kecil yang lain untuk makanan dan perlukan laluan luas di hutan sebagai kawasan pemburuan, secara rutin menghalau saingan-saingannya dari wilayahnya.

Tembakan senjata diperkira sembilan dari setiap 10 kematian dan kecederaan burung helang Filipina yang dicatatkan oleh yayasan ini dalam tempoh tujuh tahun.

Burung terbaru dibunuh itu telah diselamatkan ketika masih kecil tiga tahun lalu dan dirawat bagi kecederaan ringan akibat tembakan senapang. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA