Helen Yap dalam sejuta nama

Helen Yap dalam sejuta nama

KUALA LUMPUR – Bait-bait lagu ‘Andainya Takdir’ nyanyian penyanyi terkenal Anuar Zain ini diluah begitu indah sehingga membuai perasaan dan mengimbau kenangan. Ditambah pula dengan lirik hasil nukilan Habsah Hassan, penulis yang sinonim dengan lirik lagu yang melakar patah perkataan berkias, yang memberikan jiwa pada setiap melodi yang dialunkan.

Tetapi lirik sebuah naskah seni itu tidak akan terwujud dengan sendiri tanpa lagu. Kedua-duanya perlu digabungkan untuk mewarnai sesebuah pentas seni. “Sebagai seorang komposer, lagu yang dicipta mesti ada bahagian-bahagian yang kita nak dengar berulang kali iaitu dipanggil ‘hook’. Misalnya lagu Andainya Takdir ini, ‘hook’ nya atau ‘catchy’nya terletak pada bait lirik …”episod-episod duka,” kata Helen Yap, komposer lagu tersebut kepada Bernama.

“Bahagian-bahagian ini yang akan buat orang selalu ingat. Terima kasih kepada Kak Chah (Habsah Hassan) yang menghasilkan lirik lagu tersebut. Dia yang meletakkan perkataan itu kena pada tempatnya,” ujarnya dalam satu temu bual di studio rakaman NAR baru-baru ini.

1 juta tontonan

Helen dan Habsah sehingga ke hari ini masih tidak menyangka bahawa lagu yang merupakan single balada Anuar mendapat sambutan begitu menggalakkan dan masih memikirkan apa yang sudah mereka lakukan sehingga ia menjadi lagu hits. Bagi anak kelahiran Pulau Tikus, Pulau Pinang ini, lagu Andainya Takdir Tercipta ketika emosi Helen sedang dalam kesedihan.

Komposer muzik, Helen Yap membuat semakan sistem bunyi sebelum rakaman suara dimulakan di sebuah studio di Taman Tun Dr Ismail baru- baru ini. – Bernama
Komposer muzik, Helen Yap membuat semakan sistem bunyi sebelum rakaman suara dimulakan di sebuah studio di Taman Tun Dr Ismail baru- baru ini. – Bernama
Komposer muzik Helen Yap ketika ditemubual di studio miliknya di Taman Tun Dr Ismail baru-baru ini. – Bernama
Komposer muzik Helen Yap ketika ditemubual di studio miliknya di Taman Tun Dr Ismail baru-baru ini. – Bernama

Melalui emosi tersebut beliau meletakkan suatu perasaan yang positif untuk menghasilkan sebuah lagu yang kini video muziknya sudah mencecah 1 juta tontonan di laman YouTube. “Waktu saya cipta lagu ni saya sedang ‘moody’. Jadi perasaan saya ketika itu saya salurkan menjadi sebuah melodi. Saya tak terfikir langsung lagu ini akan menjadi ‘hits’. Saya gubah lagu ni sampai habis dengan penuh minat dan ikhlas. “Kawan-kawan kami semua memberitahu lagu tersebut semacam! Tiada perkataan yang dapat menggambarkan ‘semacam’ itu. Saya pun tak tahu yang lagu ni dijadikan ‘single’ untuk album Anuar Zain,” kata Helen.

Sesuai untuk Anuar

“Dalam industri muzik ni kita tak boleh terlalu ‘excited’ (ghairah), kita kena tunggu respons dari pendengar. Kadang-kadang, ada yang tak menjadi. Lagu belum keluar tapi satu kampung dah dicanang mengenainya. Pantang tau! Just relax,” kata Helen. “Pihak Anuar hubungi saya sama ada ada lagu atau tidak. Saya cakap ada dan lagu ini sesuai untuk Anuar sebab dia sukakan lagu-lagu yang ada drama, meruntun jiwa dan sebagainya.

“Jadi, saya cakap saya jual lagu dengan lirik sekali – pakej. Saya ada pengalaman dulu bila saya jual lagu sahaja tanpa lirik. Saya kecewa sebab lagu saya rosak disebabkan lirik tak sesuai dan tak sedap didengar.

“Anuar suka lagu ni dan pihak mereka terus ‘booking’. Saya terkejut dan cakap biar benar ni… terus booking. Terkejut tu kerana saya tak pernah buat lagu untuk Anuar, saya cuma impikan yang suatu hari dia akan nyanyikan lagu saya,” ujar Helen. Bagi Helen, Anuar berjaya membawakan lagu ini. Penghayatan dan penjiwaan Anuar terhadap lagu tersebut tepat, ditambah dengan kelunakan suaranya yang merdu. Susunan muziknya juga indah membuatkan Helen terbuai sama walaupun sebenarnya itu lagu ciptaannya.

Kisah tersendiri

Setiap lagu mempunyai kisah yang tersendiri dalam proses pembikinannya. Banyak faktor penyumbang kepada setiap lagu yang dihasilkan. Menurut Helen, waktu yang sangat sesuai untuk beliau mencipta lagu ialah pada waktu tengah malam kerana suasana yang sangat tenang dan sunyi. “Saya pantang kalau saya sedang cipta lagu tiba-tiba ada yang datang ketuk pintu dan hanya bertanya benda-benda yang remeh temeh. Iham dan idea saya terus lari. Sebab itu saya suka hasilkan lagu pada waktu orang semua tidur,” kata Helen.

Kadang-kadang idea datang dengan senangnya tak sampai 30 minit sudah siap satu lagu. Adakala tersangkut di bahagian korus dan bahagian-bahagian lain. Ada juga idea yang dah dua tiga hari saya simpan terus dibuang. Satu ketika juga pernah dua tiga idea datang mencurah-curah. Apa yang saya buat saya rekodkan melodi tersebut, selepas itu baru saya perlahan-lahan kembangkannya untuk jadi ‘masterpiece’,” katanya lagi.

Helen Yap ketika melakukan kerja-kerja rakaman suara di studio miliknya. – Bernama
Helen Yap ketika melakukan kerja-kerja rakaman suara di studio miliknya. – Bernama

Seseorang penggubah lagu akan ada masanya ketandusan idea serta sukar untuk menyiapkan sesebuah lagu. Bagi Helen, beliau kurang gemar untuk hasilkan lagu-lagu bercorak patriotik.

Keluarga seni

Dibesarkan dalam keluarga seni, Helen Yap Yu Pit atau nama komersilnya Helen Yap tidak merasa kekok untuk turut sama mewarisi bakat tersebut. Seawal usia enam tahun minatnya bercambah tatkala melihat sepupunya yang lebih muda daripadanya menghadiri kelas piano. Melihatkan keadaan tersebut, hasrat untuk belajar piano disuarakan kepada ibu tercinta.

Helen mula belajar bermain piano dengan nenek saudaranya yang juga guru piano. Semangat untuk menguasai alat muzik bertambah apabila sepupu beliau mula memasuki kelas bermain piano. “Pada mulanya ayah tidak setuju, tetapi ibu nekad dan menyakinkan ayah supaya saya menyertai kelas piano dan ibu sendiri yang membayar yuran. Saya rasa sangat bersyukur dan gembira sekali,” ujarnya.

Helen yang memiliki ijazah dalam bidang muzik dari Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat pada awal 80-an dalam pengkhususan Muzik Profesional dan Skor Filem, berkata, sejarah penglibatannya dalam bidang muzik berbekalkan minat serta didorong oleh keluarganya.

Berklee College

“Sebelum pergi belajar, keluarga bertanyakan saya selepas habis belajar apa yang kamu mahu buat? Saya beritahu ingin menjadi tutor atau memiliki akademi muzik sendiri. Tetapi bila tiba di Boston, matlamat saya bertukar sebab belajar muzik bukan pengakhirannya. Bukan hanya jadi guru atau tenaga pengajar di sekolah-sekolah muzik sahaja. Ruang lingkupnya sangat besar dan mencakupi beberapa keperluan industri muzik tanah air. Di sana saya dapat gambarkan saya sebagai penulis lirik, penggubah lagu, penerbit, penyusun muzik, pemain muzik orkestra dan bermacam-macam lagi,” tambah Helen.

Menurut Helen, pada awal 80-an, bilangan pelajar lelaki dalam bidang muzik di Berklee College jauh melebihi pelajar perempuan dengan nisbah hampir 16:1. Namun kini, jumlah tersebut sudah sama kerana ramai pelajar perempuan yang memohon untuk meneruskan pelajaran mereka dalam bidang muzik. “Masa dalam kelas dua atau tiga orang perempuan sahaja yang ada yang lain semua lelaki. Begitu juga ketika sesi latihan bersama, kadang-kadang dua dan boleh jadi tiga tetapi kebanyakannya seorang sahaja di setiap sesi.

Hal tersebut menjadikan saya terbiasa bekerja dengan ramai lelaki and I’m the only girl in the band (dan saya seorang sahaja pelajar perempuan dalam kelas). Apa yang penting saya tahu apa yang saya mahukan dan buat dengan penuh minat,” kata Helen. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA