Helikopter mendarat kawasan periuk api

Helikopter mendarat kawasan periuk api

BOGOTA, 23 Jun (dpa) – Empat tentera Colombia terbunuh apabila helikopter yang mereka naiki terhempas di kawasan periuk api semalam, menurut pihak ketenteraan.

Enam orang lagi dari 15 penumpang UH 60 Black Hawk tercedera, Mejar Jeneral Ernesto Maldonado dipetik sebagai berkata oleh El Tiempo.

Bahan letupan dikatakan ditanam oleh Pasukan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC), menurut laporan itu lagi, dengan memetik pegawai-pegawai yang tidak didedahkan identitinya.

Kejadian berlaku berhampiran Teorama di bahagian timur laut Norte de Santander. Helikopter itu membantu sebuah pasukan yang membaiki saluran paip berhampiran yang diserang seminggu lalu oleh gerila-gerila.

Konflik 50 tahun dengan FARC telah semakin meningkat baru-baru ini. Pada April lalu, kerajaan telah menyambung semula serangan udara ke atas gerila-gerila, selepas menangguhkannya pada bulan Mac.

Para pemberontak telah mengisytiharkan penamatan gencatan senjata sehala mereka pada tahun 2014.

Pasukan tentera pada Khamis lalu menangkap 20 orang pemberontak berhaluan kiri di selatan negara itu berserta senjata dan peluru, disyaki menyerang talian tenaga dan paip air di bahagian selatan Narino. Rabu lalu, empat orang tentera terbunuh akibat periuk api ketika meronda di bahagian selatan Caqueta, sehari selepas tentera membunuh dua orang anggota FARC.

Rundingan telah dijalankan di Havana sejak 2012.