Hendo masih dihantui tewas kepada Stoke

Hendo masih dihantui tewas kepada Stoke

LONDON, 24 Julai – Kapten Liverpool, Jordan Henderson berkata, kekalahan ‘memalukan’ 6-1 kepada Stoke City pada penghujung saingan liga musim lalu, masih terus menjadi igauan buruk buat dirinya sehingga saat ini.

Perlawanan itu sepatutnya menjadi aksi terakhir bagi meraikan penamat karier bintang terhebat Anfield, Steven Gerrard namun sebaliknya menjadi mimpi ngeri, dengan skuad The Reds ketinggalan 5-0 pada babak pertama di Stadium Britannia pada 24 Mei lalu itu.

Ia adalah aksi terdesak Liverpool untuk menamatkan saingan musim lalu, namun pasukan dari Merseyside itu bakal memiliki peluang untuk menebus kekecewaan berkenaan apabila saingan Liga Perdana Inggeris bermula bulan depan.

Henderson yang menggantikan Gerrard sebagai kapten Liverpool, mengakui jelas masih terus dihantui dengan keputusan itu.

“Ia adalah hari yang tidak akan dapat dilupakan bagi kebanyakan kami,” katanya kepada beberapa akhbar nasional yang disiarkan hari ini. “Cara kami beraksi, keputusan dan jaringan yang bolos, semuanya, ia serba tidak menjadi.

Henderson (kiri), CEO Liverpool Ian Ayre (dua kiri), Rodgers (tengah), jurulatih Malaysia Dollah Saleh (dua kanan) dan pertahanan Malaysia Thiago Junio de Aquino (kanan) bergambar bersama jersi aksi persahabatan dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur kelmarin. - AFP
Henderson (kiri), CEO Liverpool Ian Ayre (dua kiri), Rodgers (tengah), jurulatih Malaysia Dollah Saleh (dua kanan) dan pertahanan Malaysia Thiago Junio de Aquino (kanan) bergambar bersama jersi aksi persahabatan dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur kelmarin. – AFP

“Di separuh masa di bilik persalinan, beberapa orang daripada kami cuba berkata sesuatu untuk membangkitkan semula semangat. Namun ia bertambah buruk sebaik saingan berakhir.

“Ia adalah perasaan yang benar-benar menyakitkan. Ia sungguh memalukan apabila pergi ke sana sebagai pemain Liverpool dan ditundukkan dengan cara begitu.”

Beberapa jam selepas kekalahan itu, skuad Liverpool kemudian berlepas ke Dubai, bagi meraikan majlis perpisahan Gerrard. Namun, dengan kekalahan kepada Stoke itu, ramai pemain Liverpool tiada mood untuk berparti.

“Secara jujurnya ramai di antara kami yang enggan pergi,” kata Henderson. “Ia sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu, ia khusus buat Stevie,” tambahnya lagi. – AFP