Hengyi, LKEB adakan sesi dialog

Hengyi, LKEB adakan sesi dialog

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), kelmarin, telah mengadakan sesi dialog yang melibatkan beberapa agensi-agensi kerajaan dan penduduk sekitar Mukim Serasa.

Sesi dialog yang diadakan di pejabat Hengyi di Muara telah dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Daerah Brunei-Muara, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, ABCi, Jabatan Alam Sekitar dan Rekreasi, Jabatan Laut, Jabatan Pelabuhan-pelabuhan, Jabatan Perikanan, Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Buruh, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Tentera Laut Diraja Brunei, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung dan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim Serasa.

Antara tujuan ia diadakan adalah untuk memaklumkan mengenai perkembangan terkini mengenai projek loji penapisan minyak Hengyi di Pulau Muara Besar (PMB) dan implikasinya terhadap masyarakat.

Sesi dialog ini memberi kaedah kepada penduduk untuk mengajukan apa jua komen dan soalan mengenai projek tersebut.

Para pegawai daripada Jabatan-jabatan kerajaan dan penduduk sekitar Mukim Serasa ketika menghadiri sesi dialog.
Para pegawai daripada Jabatan-jabatan kerajaan dan penduduk sekitar Mukim Serasa ketika menghadiri sesi dialog.

“Agensi-agensi yang berkaitan dan masyarakat setempat yang berkenaan perlu mengetahui perkembangan serta implikasi projek Hengyi. Kami perlu mengurus jangkaan dan menyelesaikan sebarang isu-isu dengan semua pihak yang terbabit dengan projek ini.

“Kami menjangka kerja-kerja pengorekan di sekitar PMB akan siap pada bulan Disember 2015 dan setelah mendapat persetujuan tentang isu-isu komersial dan kebenaran lukisan pelan, bolehlah kami memulakan fasa pembinaan seberapa segera,” kata Naib Presiden Bahagian Perkhidmatan Korporat Hengyi Industries, Sheikh Rashid Salam.

Pada sesi itu, pegawai dari Hengyi Industries turut menyampaikan taklimat dan diikuti sesi soal jawab kepada ahli panel yang terdiri daripada pegawai-pegawai Hengyi dan LKEB.

Hengyi telah mengadakan sesi dialog seperti ini setiap suku tahunan bagi memaklumkan agensi-agensi yang berkaitan dan masyarakat yang berkenaan mengenai perkembangan projek pembinaan loji penapisan minyak di PMB.

ARTIKEL YANG SAMA