Hengyi taja 1...

Hengyi taja 14 lagi siswa UBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Seramai 14 orang lagi mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah dipilih untuk menerima Biasiswa Kejuruteraan Kimia dan Proses untuk mengikuti pengajian dan latihan industri di Zhejiang University, China, di bawah tajaan Hengyi Industries Sdn Bhd.

Sehubungan itu, penandatanganan perjanjian biasiswa di antara Hengyi dan para penuntut berkenaan telah diadakan Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini dengan dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi, Chen Lian Cai mewakili Hengyi bagi menandatangani perjanjian bersama mahasiswa-mahasiswi berkenaan dengan disaksikan oleh ibu bapa masing-masing sebagi penjamin.

Hengyi dalam kenyataannya menjelaskan, Program Biasiswa Kejuruteraan Kimia dan Proses yang dilaksanakan bersama dengan UBD dan Zhejiang University ditubuhkan untuk menaja para penuntut berkenaan bagi mengikuti penggal akhir pengajian akademik mereka dan latihan industri di Zhejiang University selama setahun setengah.

Program berkenaan akan termasuk penempatan di kilang petrokimia di China di mana penuntut-penuntut akan mendapatkan pengalaman langsung dalam persekitaran operasi penapisan sebenar.

Para mahasiswa UBD yang mendapat tajaan Hengyi bergambar ramai selepas majlis penandatangan perjanjian biasiswa mereka kelmarin.
Para mahasiswa UBD yang mendapat tajaan Hengyi bergambar ramai selepas majlis penandatangan perjanjian biasiswa mereka kelmarin.

Sebaik sahaja menamatkan program, mereka akan ditawarkan pekerjaan di Hengyi, menurut kenyataan itu lagi.

Ini merupakan kumpulan pelajar keempat di bawah perjanjian biasiswa dengan UBD dan Zhejiang University berkenaan.

Program biasiswa tahunan bersama itu telah melahirkan 43 graduan secara keseluruhannya, dengan kumpulan pertama telah menamatkan pengajian mereka dan sedang bekerja dengan Hengyi.

Kumpulan kedua pula telah menamatkan pengajian dan latihan industri mereka di China dan pada masa ini sedang menjalani penempatan kerja bersama Hengyi sebelum tamat pengajian, sementara itu, kumpulan ketiga pula sedang menjalani program berkenaan di China sehingga Julai 2017.

ARTIKEL YANG SAMA