Hengyi terima lawatan kerja dari China

Hengyi terima lawatan kerja dari China

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Delegasi yang diketuai oleh Presiden China Development Bank (CBD), Zheng Zhi Jie kelmarin telah membuat lawatan kerja ke pejabat Hengyi Industries Sdn Bhd di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Hadir menerima delegasi tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries Sdn Bhd, Chen Lian Cai.

Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian, pegawai-pegawai kanan CDB dan kedutaan rakyat China bersama dengan pengurusan kanan Hengyi.

Dalam lawatan itu, delegasi diberi taklimat mengenai dengan pembangunan projek Pulau Muara Besar oleh Chen Lian Cai.

Menurut satu kenyataan di sini, projek penapisan minyak yang dikongsi sama oleh Hengyi dan Damai Holdings ini bernilai kira-kira AS$4 bilion, dan dijangka akan mewujudkan sekitar 800 peluang pekerjaan dan tapak projek akan melibatkan kira-kira 260 hektar di Pulau Muara Besar.

Chen Lian Cai (dua kiri) bergambar ramai bersama Puan Yang Terutama Yang Jian dan Zheng Zhi Jie.
Chen Lian Cai (dua kiri) bergambar ramai bersama Puan Yang Terutama Yang Jian dan Zheng Zhi Jie.

Chen Lian Cai dalam ucapannya dipetik sebagai berkata, “bagi pihak Hengyi, kami dengan amat sukacita mengalu-alukan kedatangan Zheng dan rombongan ke pejabat Hengyi hari ini. Kami ingin mengambil peluang ini untuk mengucap terima kasih kepada Zheng kerana mengambil masa untuk mengikuti taklimat mengenai pembangunan projek Hengyi.

“Hengyi pada masa ini dalam proses pengorekan dan aktiviti-aktiviti reklamasi untuk persediaan bagi fasa pembinaan; sebaik sahaja proses ini disiapkan dengan kebenaran-kebenaran yang diperoleh dan persetujuan syarat komersial, proses pembinaan bolehlah dimulakan”.

Sementara itu, Zheng dalam lawatan kerja tersebut dipetik sebagai berkata, “projek ini menandakan hubungan ekonomi yang rapat antara Republik Rakyat China dengan Brunei Darussalam.

“Projek ini diharap akan menjadi satu pemangkin kepada lebih banyak pelaburan China ke Brunei pada masa hadapan. Kami sangat menantikan projek ini beroperasi sepenuhnya dan kami harap ia akan membantu meningkatkan ekonomi tempatan.”

Zheng dan delegasi CDB sedang dalam negara membuat lawatan kerja tiga hari bagi China ASEAN Inter Bank Consortium Meeting minggu ini.

ARTIKEL YANG SAMA