Henti pemanasan global dicapai

Henti pemanasan global dicapai

LE BOURGET, Perancis, 13 Dis (AFP) – Duta dari 195 buah negara semalam meluluskan satu perjanjian bersejarah di Paris untuk menghentikan pemanasan global, sekali gus menawarkan harapan manusia boleh mengelak perubahan iklim dan membawa revolusi tenaga.

Menteri Luar Perancis Laurent Fabius mengakhiri rundingan PBB selama dua minggu di pinggir bandar Paris dengan memukul tukul kayu, menandakan persetujuan di kalangan menteri-menteri, yang berdiri selama beberapa minit untuk bertepuk tangan dan menjerit kegembiraan mereka, ada di antara mereka menangis.

“Saya melihat bilik, saya melihat reaksi adalah positif, saya tidak mendengar bantahan. Perjanjian iklim Paris telah diterima,” umum Fabius, presiden rundingan.

Perjanjian Paris 2020 menamatkan pertengkaran selama beberapa dekad di antara negara kaya dan miskin mengenai cara-cara melancarkan kempen bernilai trilion dolar untuk menamatkan pemanasan global dan mengatasi kesan iklim yang berubah-ubah.

Dengan ramalan 2015 tahun paling panas yang pernah dicatat, pemimpin dunia dan ahli sains berkata perjanjian adalah penting untuk mengehadkan suhu yang naik dan mengelak kesan paling teruk perubahan iklim.

Tanpa sebarang tindakan, mereka mengingatkan manusia menghadapi musim kemarau yang semakin teruk, banjir dan ribut, dan kenaikan paras laut akan menenggelamkan pulau dan kawasan pantai yang dihuni oleh beratus juta penduduk.

“Perjanjian Paris menubuhkan rangka kerja yang diperlukan oleh dunia untuk menyelesai krisis iklim,” kata Presiden AS Barack Obama.

“Kami berkumpul bersama untuk mencapai perjanjian yang diperlukan oleh dunia.”

Canselor Jerman Angela Merkel menambah: “Paris sentiasa dikaitkan dengan titik perubahan bersejarah dalam dasar iklim.”

Kempen perjuangan memerlukan pengurangan atau penghapusan penggunaan arang batu, minyak dan gas untuk tenaga, yang sebahagian besar menghasilkan kemakmuran sejak Revolusi Industri.

Pembakaran bahan fosil berkenaan membebaskan gas rumah hijau, yang menyebabkan planet menjadi panas dan menjejaskan sistem iklim Bumi.

Menamatkan lingkaran ganas memerlukan peralihan kepada sumber yang lebih bersih, seperti solar dan angin, dan mempertingkat kecekapan tenaga.

Sesetengah negara juga sedang menghasilkan tenaga nuklear, yang tidak mengeluarkan gas rumah hijau.