Henti pengambilan produk kopi PROMAN

Henti pengambilan produk kopi PROMAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai bahawa produk makanan Brazilian PROMAN Catuaba Coffee Blend (Wake up) keluaran Malaysia (gambar), telah didapati mengandungi bahan racun berjadual terkawal iaitu Tadalafil yang boleh membahayakan kesihatan.

Menurut kenyataan kementerian berkenaan, hari ini, Tadalafil adalah bahan yang dikawal di bawah Akta Racun 1956 (Penggal 114) dan digunakan bagi merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi dan pengawasan doktor.

Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan bahan terkawal berkenaan termasuk merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening, manakala itu, dalam kes-kes yang serius, ia juga boleh menyebabkan degupan jantung yang tinggi, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan. Penggunaan bahan-bahan tersebut dalam makanan juga tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kesihatan Awam (Makanan), (P1 Penggal 182).

Sehubungan dengan ini, Kementerian Kesihatan menasihatkan para pengguna yang memakan atau pernah memakan produk terbabit supaya menghentikan pengambilannya dan dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan kesihatan.

Manakala itu, para pengimport dan peniaga diarahkan untuk menarik balik produk terbabit daripada pasaran, dan mereka serta para pengguna juga dikehendaki menyerahkan produk tersebut ke Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan atau pejabat-pejabat kesihatan di daerah-daerah untuk dimusnahkan.

pg07_151119_j

Dalam pada itu, orang ramai turut diingati supaya tidak akan mudah terjebak dan terpedaya dengan dakwaan kebaikan atau khasiat produk makanan yang tidak pasti akan kesahihannya dan menghubungi pihak Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dengan produk yang diragukan.

Kementerian Kesihatan, dalam kenyataannya, juga mengingatkan bahawa sepertimana yang diperuntukkan di bawah Bab 9 ceraian (1) sub-perenggan (i) Akta Kesihatan Awam (Makanan) (Penggal 182), sesiapa yang menyediakan, menjual atau mengimport makanan yang boleh memudaratkan kesihatan boleh dihukum penjara selama lima tahun atau suatu denda atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai juga diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 17 Akta Racun 1956 (Penggal 114) untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah akta berkenaan.

Sesiapa yang melanggar peruntukan ini boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah. Selain itu, sesiapa yang melakukan sesuatu atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, boleh didenda sebanyak $16,000 dan dua belas (12) bulan penjara, jika didapati bersalah.

Pihak kementerian menyeru kerjasama para pengimport produk makanan untuk mendapatkan pengesahan keselamatan produk makanan sebelum ia diimport dan dipasarkan. Para pengimport boleh mendapatkan maklumat tersebut dengan melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau menghubungi terus Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, di talian 2331100-6 / 09 / 10 atau faks 2331107.

Manakala itu, maklumat lanjut mengenai bahan racun yang dikawal di bawah Akta Racun boleh diperolehi daripada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Tingkat 1 Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras di talian 2393298 sambungan 208, faks 2393291 atau e-mel ke alamat pharmacy.enforcement@moh.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA