Henti sebar maklumat palsu

Henti sebar maklumat palsu

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 4 Nov – Media sosial termasuk penggunaan aplikasi WhatsApp kini semakin banyak digunakan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan fitnah.

Lebih membimbangkan, maklumat palsu dan berunsur fitnah itu diterima bulat-bulat tanpa merujuk kepada sumber sahih yang kemudiannya menjadi viral sehingga dikhuatiri menjejaskan keselamatan negara.

Terbaru, orang ramai dikejutkan dengan penyebaran secara meluas kes seorang budak perempuan yang kononnya dilarikan di hadapan sebuah pasar raya di Limbang semalam.

Penyebaran berita itu mengejut, dan menyebabkan orang ramai panik, sekali gus boleh menjejaskan keselamatan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak mereka cerita dan terus menyebarkan maklumat palsu mengenai kes culik tersebut.

Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika memberikan amaran berikutan hal tersebut.
Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika memberikan amaran berikutan hal tersebut.
Maklumat palsu yang tersebar melalui WhatsApp.
Maklumat palsu yang tersebar melalui WhatsApp.

Tegasnya pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya penyebaran maklumat palsu itu mewujudkan kegusaran masyarakat.

“Ini perbuatan yang boleh disifatkan sebagai melampau dan menyusahkan orang… ia hanya akan menambah ketakutan kepada masyarakat dan menimbulkan suasana tegang serta menggugat ketenteraman awam,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau juga mahu orang ramai agar tidak percaya mengenai kes culik berkenaan dan meminta ia tidak disebarkan kerana boleh menimbulkan ketakutan kepada orang lain.

Jelasnya lagi pihaknya juga ada menghubungi nombor yang tertera dalam kes culik berkenaan dan dinafikan selain tiada laporan diterima pihaknya.

Perbuatan menyebarkan sebarang maklumat palsu menjadi satu kesalahan kerana ia mungkin melanggar undang-undang negara khususnya Seksyen 211 atau 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika didapati bersalah hukumannya ialah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.