Hentikan diskriminasi di Myanmar – Obama

Hentikan diskriminasi di Myanmar – Obama

WASHINGTON, 3 Jun (AFP) – Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menggesa Myanmar supaya menamatkan diskriminasi terhadap etnik minoriti Islam Rohingya jika ia mahu berjaya dalam peralihan kepada pemerintahan demokrasi selepas beberapa dekad diperintah oleh junta tentera.

“Penduduk Rohingya telah banyak didiskriminasi dan kerana itu, mereka melarikan diri,” kata Obama ketika menghadiri majlis perjumpaan bersama barisan pemimpin muda dari Asia Tenggara di Washington kelmarin.

Menyentuh tentang apa yang diperlukan oleh Myanmar untuk berjaya, Obama berkata, antara perkara paling penting ialah menamatkan diskriminasi kerana rupa paras dan agama.

“Pada saya, sekiranya saya seorang Rohingya, saya mahu tinggal di tempat saya dilahirkan. Namun, saya mahu memastikan saya dilindungi oleh kerajaan dan penduduk lain melayan saya dengan adil.

“Sebagai sebahagian daripada peralihan demokrasi, isu layanan terhadap etnik Rohingya ini perlu ditangani dengan amat serius,” katanya.

Presiden Barack Obama. – AFP
Presiden Barack Obama. – AFP

Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai etnik minoriti. Mereka sebaliknya digelar Bengalis. Pemerintah Myanmar bertegas bahawa mereka ialah pendatang haram dari negara jirannya, Bangladesh.

Justeru, penduduk Rohingya dihadkan pergerakan dan peluang pekerjaan serta manfaat lain. Diskriminasi itu mendorong beribu-ribu etnik Rohingya memberanikan diri melakukan pelayaran di laut menuju ke Malaysia dan Indonesia.

Sejumlah 1.3 juta etnik Rohingya tinggal di negeri Rakhine, barat Myanmar.