Hentikan eksploitasi

Hentikan eksploitasi

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Pihak kerajaan mesti terus memerangi segala bentuk aktiviti yang menyumbang kepada jenayah pemerdagangan manusia dengan menguatkuasakan undang-undang lebih ketat serta program perlindungan mangsa yang lebih berkesan.

Dasar-dasar lebih kukuh bagi membanteras jenayah pemerdagangan manusia dan rangkaian pembekalan manusia harus menjadi fokus utama dalam usaha menghapuskan penghambaan zaman moden itu sebelum menjadi tidak terkawal.

Saranan itu dibuat oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen, ketika diundang sebagai tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Pameran Seni Lukis: Pemerdagangan Manusia dan Penghambaan Zaman Moden, yang berlangsung di Kaleidoscope Studio, Saffron Cafe di Kiulap, hari ini.

TYT Allen menegaskan, pihak kerajaan harus mengambil langkah awal penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan telus supaya dapat dipatuhi dengan jelas oleh sektor swasta, dan melaksanakan dasar peraturan yang hanya akan mengukuhkan lagi perlindungan terhadap mangsa penghambaan moden dalam rangkaian pembekalan manusia.

“Apabila pihak kerajaan mempertingkatkan usaha pemantauan dan kawalan ke atas tenaga kerja asing yang memasuki negara masing-masing, maka langkah itu juga akan merubah pasaran tenaga kerja secara global,” ujar beliau.

Tuan Yang Terutama Graig Allen menerima cenderamata daripada penganjur pameran.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Tuan Yang Terutama Todd Mercer menerima cenderamata daripada penganjur pameran.
Teater bertajuk Remittance dipersembahkan sebagai kemuncak acara.
Teater bertajuk Remittance dipersembahkan sebagai kemuncak acara.

Pada pameran yang dianjurkan oleh sekumpulan sukarelawan anggota sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan, Remaja Menentang Penghambaan Brunei (YAS Brunei), TYT Allen berkata, golongan remaja memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan membanteras pemerdagangan manusia dan penghambaan bentuk moden, serta rangkaian pembekalan mereka.

Katanya lagi, dengan menggunakan kemudahan alat kesedaran pengguna seperti laman sesawang slaveryfootprint.org, seseorang individu akan lebih memahami bagaimana pemerdagangan manusia menyumbang dan mendatangkan kesan dalam urusan membeli-belah barangan harian mereka.

TYT Allen menyarankan, para pengguna juga boleh menggunakan kuasa membeli yang ada pada mereka untuk menuntut syarikat-syarikat terbabit dalam industri supaya mengambil langkah-langkah perlu untuk membanteras penghambaan moden dalam operasi perniagaan mereka.

Setiap individu, tambahnya, boleh memberikan tekanan ke atas kerajaan masing-masing supaya melaksanakan dasar-dasar yang dapat menyediakan perlindungan lebih menyeluruh dan memastikan kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam menjalankan tugas.

Projek Remaja Menentang Penghambaan Brunei (YAS Brunei) diasaskan oleh dua remaja tempatan yang prihatin, Dayang Norhayatunajibah binti Haji Kifli dan Dayang Amal Kasibah binti Bahari, di bawah Rangkaian Menamatkan Penghambaan Remaja ASEAN.

Projek itu, yang berpangkalan di negara ini, berperanan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap jenayah pemerdagangan manusia dan penghambaan zaman moden di Negara Brunei Darussalam dan merupakan projek pembangunan modal insan bagi remaja ASEAN.

Kemuncak majlis itu ialah persembahan teater bertajuk Remittance lakonan beberapa anak remaja daripada Diaspora Asia Production di bawah arahan guru dan pengarah teater terkenal, Low Kok Wai dan Malou Radovan.

ARTIKEL YANG SAMA