Heroin diimplan dalam badan anak anjing

Heroin diimplan dalam badan anak anjing

SEPANYOL, 24 Jun (AFP) – Polis Sepanyol berkata kelmarin mereka telah menahan satu doktor haiwan Venezuela yang dikehendaki oleh Amerika Syarikat (AS) atas kesalahan memasukkan kantung cecair dadah heroin ke dalam badan anak anjing bagi tujuan penyeludupan ke AS.

Polis menahan Andres Lopez Elorza Sabtu lalu di daerah Santa Comba di barat laut rantau Sepanyol di Galicia, di mana dia bersembunyi sejak mahkamah Sepanyol bulan lepas meluluskan ekstradisinya ke AS, menurut keterangan dari pihak polis.

“Orang ini, doktor haiwan dan ahli organisasi penyeludupan dadah, membawa heroin dari Colombia ke AS dalam satu implan yang dimasukkan ke dalam badan anak anjing yang dihantarnya sebagai haiwan peliharaan,” polis berkata dalam satu keterangan.

Lopez, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, telah pertama kali ditahan dalam satu waran tangkap antarabangsa pada Disember 2013 di Lugo, Galicia, tetapi dibebaskan sementara ekstradisinya dipertimbangkan.

Dia telah berada dalam pelarian sejak polis Colombia menyerbu kliniknya di Medellin dan mendapati tiga kilogram heroin diimplan dalam badan anak anjing yang dijadualkan akan diterbangkan ke AS selepas kesan parutnya pulih.

Selepas penyerbuan itu, AS mengerah pasukan polis antarabangsa untuk menahan doktor haiwan tersebut kerana disyaki penyeludup dadah.

Polis Sepanyol berkata Lopez kekal berada dalam apartmennya di Santa Comba sejak mahkamah mengarahkan ekstradisinya dan tidak berhubung dengan isteri dan anak-anaknya untuk cuba melarikan diri.