Herrera selesa di United

Herrera selesa di United

LONDON, 3 Dis (Agensi) – Ander Herrera menegaskan dia amat gembira bermain di Manchester United selepas khabar angin melaporkan kedudukannya menjadi semakin tidak menentu sejak kelab itu dibimbing Louis van Gaal.

Pemain tengah itu tidak diturunkan pada dua perlawanan terakhir United akibat kecederaan hamstring, tetapi dia jarang mengisi senarai kesebelasan utama di bawah Van Gaal yang kerap menukar posisi pemain itu sejak tiba dari Athletic Bilbao pada musim panas 2014.

Akhbar Daily Star mendakwa pemain berusia 26 tahun itu mahu bertemu dan berbincang dengan pengurus Belanda itu, tetapi dalam laman web Twitter miliknya, Herrera menjelaskan dia cukup gembira di Old Trafford.

Dia memuat naik gambar temubual yang diadakan sebelum perlawanan menentang PSV Eindhoven dan Herrera berkata: “Temubual minggu lalu. Saya gembira di Manchester United.”

Herrera tetap selesa di United meskipun khabar angin melaporkan kedudukannya menjadi semakin tidak menentu sejak kelab itu dibimbing Louis van Gaal. – Reuters
Herrera tetap selesa di United meskipun khabar angin melaporkan kedudukannya menjadi semakin tidak menentu sejak kelab itu dibimbing Louis van Gaal. – Reuters

Imej itu turut memaparkan kenyataan pemain itu yang menyebut: “Saya tidak mahu mimpi ini berakhir. Saya perlu bermain sebaik mungkin jika saya mahu terus kekal di kelab ini.”

Herrera yang sudah membuat 45 penampilan dan meledak 11 gol sejak berpindah ke England turut menyatakan hasratnya untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Ketika saya di Sepanyol, saya sering bermimpi untuk bermain bersama kelab terhebat dunia dan mungkin juga kelab yang mempunyai penyokong paling ramai iaitu Manchester United,” katanya kepada United Review.

“Justeru, saya bekerja keras untuk berada di sini. Ketika di Sepanyol, saya amat profesional dan perlu konsisten.

“Saya sudah di United, saya sering mengingatkan diri: perkara paling sukar ialah untuk memastikan tenaga terus diperlukan oleh kelab.”