Heung-min julang Spurs

Heung-min julang Spurs

LONDON, 21 Sept (Reuters) – Son Heung-min menjaringkan gol ketiganya dalam dua perlawanan untuk memberikan Tottenham Hotspur kemenangan gelanggang sendiri pertama musim ini apabila menewaskan Crystal Palace 1-0 dalam kancah Liga Perdana Inggeris semalam.

Pemain antarabangsa Korea Selatan berusia 23 tahun itu yang khidmatnya diperoleh dari Bayer Leverkusen, musim panas lalu, menjaringkan dua gol ketika Spurs beraksi dalam saingan Liga Europa minggu lalu.

Tendangan rendahnya yang melepasi Alex McCarthy hadir selepas penjaga gol Spurs, Hugo Lloris sebelum itu menyelamatkan keadaan getir daripada percubaan Bacary Sako.

Bagaimanapun, Palace gagal menjaringkan gol buat kali kedua berturut-turut selepas skuad bimbingan Alan Pardew itu tewas ketika beraksi di gelanggang lawan buat kali pertama musim ini, sekali gus kehilangan peluang untuk berada dalam kelompok tiga terbaik.

Son Heung-Min (kanan) meraikan bersama-sama rakan sepasukannya Christian Eriksen selepas berjaya membolosi gawang lawan Crystal Palace pada perlawanan di Hart Lane di utara London pada 20 September 2015. – AFP
Son Heung-Min (kanan) meraikan bersama-sama rakan sepasukannya Christian Eriksen selepas berjaya membolosi gawang lawan Crystal Palace pada perlawanan di Hart Lane di utara London pada 20 September 2015. – AFP

Tottenham kini mempunyai rekod bersih tiga perlawanan berturut-turut.

Harry Kane sekali lagi gagal mencari gol pertamanya musim ini selepas terlepas peluang apabila tandukannya tersasar hasil sepakan sudut Erik Lamela.

Tetapi Heung-min memberikan skuad Mauricio Pochettino kelebihan selepas McCarthy yang acap kali diuji dengan sepakan jarak jauh, tertewas apabila Lamela dan pemain gantian Christian Eriksen melorongkan bola buat pemain Korea Selatan itu menjaringkan gol pada pertengahan separuh masa kedua.

ARTIKEL YANG SAMA