Hewitt: Selamat tinggal Wimbledon

Hewitt: Selamat tinggal Wimbledon

LONDON, 30 Jun (AFP) – Lleyton Hewitt mengakui dia hanya mampu menahan kesedihan ketika persaingan bekas juara Wimbledon itu berakhir dalam kekalahan lima set menentang Jarkko Nieminen semalam.

Hewitt memulakan jelajah selamat tinggal sebelum bersara selepas Terbuka Australia tahun depan dan dia berharap dapat membuat keraian dalam kunjungan ke-17 dan terakhirnya ke Kelab Seluruh England.

Tetapi, biarpun menyelamatkan tiga mata penamat, pemain dari Australia yang berusia 34 tahun itu sebaliknya tumpas 3-6, 6-3, 4-6, 6-0, 11-9, dalam masa empat jam dalam kepanasan di Court Two.

Selepas dinafikan pertemuan pusingan kedua menentang pemain nombor satu dunia Novak Djokovic, Hewitt begitu emosi ketika melabuh tirai Wimbledon tetapi mengekalkan imej lelaki yang tegap dan berazam untuk tidak menangis.

“Saya mungkin tidak mudah menangis. Saya tidak menangis hari ini, jika itu apa yang anda tanyakan. Hampir-hampir tetapi tidak. Anda cuba dan menahannya sebaik mungkin pada akhir pertandingan. Tetapi anda tidak memikirkan begitu jelas seperti yang anda mahukan,” kata Hewitt.

Hewitt melambai ke arah penonton selepas tewas kepada Nieminen semalam. - AFP
Hewitt melambai ke arah penonton selepas tewas kepada Nieminen semalam. – AFP

“Tidak pernah memasuki minda saya bahawa ini adalah kali terakhir anda melakukan servis atau beraksi dalam kejohanan. Jadi perasaannya sedikit pelik dalam banyak cara. Tetapi orang ramai dan segalanya amat mengagumkan. Saya tidak mahukannya dengan cara lain.”

Hewitt, bekas pemain nombor satu dunia yang dilanda kecederaan sehingga rankingnya menjunam ke tangga 118 sejak menjulang gelaran Wimbledon 2002, merasa tenang untuk memberikan persembahan menarik dalam persaingan perseorangan terakhirnya di Grand Slam pilihannya.

“Ia meningkatkan kerjaya saya dari segi mental dengan sikap tidak berputus asa.

“Saya sudah melaluinya 18, 19 tahun dalam jelajah. Saya berbangga saya meninggalkannya di sana.”

ARTIKEL YANG SAMA