Hezbollah sasar tentera Israel dengan bom

Hezbollah sasar tentera Israel dengan bom

BEIRUT, 5 Jan (Reuters) – Hezbollah meletupkan bom yang disasarkan ke atas pasukan tentera Israel di sempadan Lubnan semalam dalam respons terhadap pembunuhan di Syria bulan lalu ke atas seorang pemerintah terkenal. Pengeboman itu mencetuskan tindakan Israel membedil selatan Lubnan.

Israel telah menyerang musuh Syiahnya yang disokong Iran iaitu Hezbollah di Syria beberapa kali, membunuh sebilangan pejuang dan memusnahkan senjata yang dipercayainya hendak dihantar kepada kumpulan itu, yang sokongannya bagi Presiden Bashar Al-Assad adalah penting dalam perang saudara negara itu.

Tentera Israel berkata letupan semalam, yang disasarkan ke atas kenderaan tentera di kawasan ladang Shebaa, mengakibatkan tentera Israel memberi respons dengan bedilan meriam. Ia tidak menyebutkan tentang kecederaan dan kematian.

Hezbollah berkata dalam satu kenyataan bahawa peranti bahan letupan telah diledakkan di kawasan ladang Shebaa dan dilancarkan oleh sebuah kumpulan yang menamakannya sempena nama Samir Qantar, seorang pemerintah yang terbunuh pada Disember lalu. kumpulan itu menuduh Israel membunuh Qantar dalam serangan udara di Syria, dan berikrar akan membalas.

Pasukan pengaman PBB di Lubnan, UNIFIL menggesa kedua belah pihak mengelak keadaan lebih buruk, dengan mengatakan ia telah meningkatkan rondaan di kawasan itu selepas kejadian itu.

Dalam satu kenyataan, ketua misi Major Jeneral Luciano Portolano menggesa kedua belah pihak ‘mengamalkan sikap paling bertahan terhadap sebarang provokasi.’

Media Lubnan berkata bedilan Israel telah mengenai bandar berhampiran, Al Wazzani dan kawasan lain, dengan laporan kerosakan bahan tetapi tidak ada kecederaan serius.

Para saksi berkata kira-kira 10 bedilan Israel telah mengenai Al Wazzani sejurus selepas letupan.

Seorang saksi Reuters berkata bedilan berhenti kemudian hari itu, TV Al-Manar melaporkan ketenangan telah kembali di kawasan Sherbaa.

Serangan udara Israel telah membunuh Qantar pada 20 Disember di Damsyik, menurut Hezbollah. Ketua Hezbollah Sayyad Hassan Nasrallah melaporkan bahawa balasan tidak akan dapat dielakkan.

Israel dan Hezbollah telah mengelak konfrontasi sekala besar di sepanjang sempadan 80 km sejak peperangan selama 34 hari dalam tahun 2006 yang mengorbankan 120 orang di Israel dan lebih 500 di Lubnan.