HFMD: Tadika di Labuan diarah tutup

HFMD: Tadika di Labuan diarah tutup

LABUAN, 20 April (Bernama) – Beberapa Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) di pulau bebas cukai ini diarahkan tutup selama seminggu bermula hari ini berikutan jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang terus meningkat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismail Ali berkata seramai 82 orang termasuk 22 murid Tadika didapati menghidap penyakit itu dua minggu lepas, berbanding 146 kes pada tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata penutupan itu bagi mengurangkan penyebaran penyakit berjangkit itu terhadap kanak-kanak Tadika yang lain.

Katanya unit penguatkuasaan jabatan itu telah mengesan tiga Tadika dengan wabak HFMD dan beberapa murid dijangkiti penyakit itu, bagaimanapun dua pra-sekolah masih dibuka dengan pemantauan yang ketat oleh guru dan jabatan berkenaan.

Dr Ismail berkata sekurang-kurangnya lima ke 10 kes direkodkan setiap minggu sejak suku pertama tahun ini.

“Kes ini tidak membimbangkan kerana ia ada setiap tahun dan bukan hanya di Labuan tetapi di tempat lain di seluruh negara, bagaimanapun kita mesti sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan mengekalkan kebersihan di sekitar kita khususnya di rumah.”