Hi-Tune SC atasi Creativol 6-5

Hi-Tune SC atasi Creativol 6-5

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Abdul Malik mencatat hatriknya pada minit ke-38 yang terbukti menjadi gol kemenangan buat Hi-Tune SC ke atas Creativol dalam aksi Kumpulan B Futsal Piala Perdana TelBru 2015 malam tadi.

Perlawanan pertama Kumpulan B di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada separuh masa pertama.

Jaringan Hi-Tune SC disumbangkan oleh Mohd Zulasri pada minit kelima, Abdul Malik pada minit kelapan dan Zulhusni pada minit ke-14, sementara jaringan Creativol dihasilkan oleh Mohd Zulmajdi pada minit kelapan, Hamzah pada minit ke-19 dan Awangku Hairul Azmi pada minit ke-20.

Separuh masa kedua terus berlangsung sengit dengan Hi-Tune SC memacu ke depan 5-3 hanya dua minit selepas rehat menerusi jaringan Mohd Zulasri pada minit ke-21 dan Abdul Malik pada minit ke-22.

Namun sebagaimana babak pertama, Creativol terus mengejar dan hasilnya Mohd Yusri berjaya merapatkan jurang jaringan kepada 5-4 pada minit ke-27, dan kemudiannya gol penyamaan Creativol, 5-5, hadir pada minit ke-36 yang dihasilkan oleh Awangku Hairul Azmi.

Gol kemenangan Hi-Tune SC terhasil dengan rembatan kaki kiri Abdul Malik yang berdiri berdekatan tempat sepakan sudut sebelah kiri gawang lawan setelah menerima hantaran sepakan sudut kawannya, yang sama sekali tidak dijangka penjaga gawang Creativol, termasuk Abdul Malik sendiri yang nampak terkejut bola tersebut menerjah gawang. – Hasrulraizan

Abdul Malik ketika dikelilingi pemain Creativol semasa beraksi dalam kejohanan Futsal Piala Perdana semalam.
Abdul Malik ketika dikelilingi pemain Creativol semasa beraksi dalam kejohanan Futsal Piala Perdana semalam.