Hiddink puas hati ikat United

Hiddink puas hati ikat United

LONDON, 29 Dis – Pengurus Chelsea, Guus Hiddink berpuas hati selepas skuad kendaliannya terikat 0-0 dengan Manchester United awal pagi tadi, tambahan pula juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu beraksi tanpa penyerang utama.

Diego Costa digantung selepas dikenakan kad kuning pada perlawanan Sabtu lalu yang menyaksikan mereka terikat 2-2 dengan Watford, manakala rakan di jentera serangan Loic Remy dan Radamel Falcao diketepikan kerana kecederaan, sekali gus memaksa Eden Hazard mengambil alih tugas berkenaan.

“Secara taktikal ia OK, di bahagian pertahanan juga kami tersusun,” kata Hiddink kepada pemberita di Old Trafford. “Kami tidak mempunyai cukup kekuatan untuk ‘mencederakan’ United.

“Kami mempunyai beberapa masalah di posisi penyerang kerana penggantungan dan juga kecederaan, jadi kami perlu memikirkan langkah terbaik untuk menyelesaikannya.

“Hazard pernah melakukannya sebelum ini dan dia mampu berbuat demikian kerana dia seorang pemain serba boleh,” kata Hiddink yang mengambilalih tugas daripada Jose Mourinho yang dipecat sebelum ini.

Guus Hiddink bercakap kepada Ramires semasa pasukan mereka menentang Manchester United di Old Trafford kelmarin. – Reuters
Guus Hiddink bercakap kepada Ramires semasa pasukan mereka menentang Manchester United di Old Trafford kelmarin. – Reuters

“Saya berpuashati kerana kami mempunyai beberapa peluang terutama di babak kedua perlawanan.”

Chelsea kini berada di kedudukan ke-14 carta liga selepas menang satu perlawanan dan dua seri selepas Mourinho dipecat.

“Pemain berdepan pengalaman sangat buruk di separuh tahun ini,” kata Hiddink yang menggalas tugas itu sehingga penghujung musim ini. “Mereka perlu bangkit dan itulah yang kami bincangkan di bilik persalinan.

Semua orang merasakan yang kami tidak boleh lagi menggunakan corak sama dan kami menunjukkannya dalam tiga perlawanan terakhir.

“Adalah agak normal untuk melihat karakter dan keinginan pemain tetapi mereka sudah banyak menunjukkan keazaman mereka dalam tiga perlawanan terakhir.” – Reuters