Hiddink tuntut aksi terbaik Eden Hazard

Hiddink tuntut aksi terbaik Eden Hazard

LONDON, 9 Mac (Reuters) – Pengurus sementara Chelsea, Guus Hiddink menuntut pemain sayap Eden Hazard memperagakan aksi yang mengangkat dirinya sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris musim lalu apabila berdepan Paris St Germain (PSG), esok.

Hazard yang menjadi subjek spekulasi perpindahan termasuk ke PSG sejak kebelakangan ini, dibelenggu musim mengecewakan dan dikeluarkan pada babak kedua ketika Chelsea tewas 1-2 pada aksi pertama pertembungan 16 terbaik Liga Juara-Juara di Perancis bulan lalu.

Hiddink kini sedang mencari formula bagi mengembalikan semula prestasi pemain kebangsaan Belgium itu pada pertembungan kedua di Stamford Bridge.

“Eden ketika di Paris, baru saja pulih daripada kecederaan dan kami tidak terlalu mendesaknya dalam perlawanan itu,” kata pengendali dari Belanda itu.

“Kini sudah beberapa minggu berlalu, dan dia sepatutnya boleh menunjukkan kemampuan sebenar dirinya esok… kami fikir dia mampu membuktikannya kerana ketika ini dengan berada di tahap kecergasan terbaik.”

Hiddink mahu Hazard (kanan) memberikan persembahan terbaik untuk menentang PSG pada pusingan kedua 16 terakhir, esok. – Reuters
Hiddink mahu Hazard (kanan) memberikan persembahan terbaik untuk menentang PSG pada pusingan kedua 16 terakhir, esok. – Reuters

Pedro kembali dalam skuad Chelsea selepas diketepikan ekoran masalah hamstring namun Hiddink masih belum pasti untuk menurunkan Diego Costa yang masih cedera.

“Diego berdepan sedikit masalah hujung minggu lalu… tetapi dia menjalani sesi latihan hari ini, jadi kita akan tengok apa yang boleh dilakukan untuk perlawanan esok,” kata Hiddink.

Pemain pertahanan England Chelsea, Gary Cahill percaya pemain tengah Brazil Willian yang menonjol musim ini, boleh menjadi azimat mereka apabila menentang PSG.

“Willian telah meningkat bulan demi bulan dan musim demi musim,” kata Cahill yang akan terus bekerjasama dengan kapten Branislav Ivanovic di bek tengah semasa ketiadaan John Terry.

“Musim ini dia benar-benar bertenaga dengan jersi Chelsea. Dia menambat hati peminat untuk menonton perlawanan. Kami memberikannya bola dan biar dia melakukan selebihnya.

“Saya yakin pemain PSG tidak dapat menikmati permainan apabila berhadapan dengannya dan pada hari itu dia seorang pemain yang sangat istimewa,” kata Cahill.