Hidup berpasangan diberikan ketenangan

MAKHLUK Allah SWT diciptakan berpasang-pasangan seperti firman-Nya yang bermaksud: “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan semua-nya baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka mahupun daripada apa-apa yang mereka tidak ketahui.” (Surah Yasin, ayat 36)

Menerusi rancangan Pesona D’ Zahra, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menerangkan, Allah SWT menjadikan setiap sesuatu di dunia ini berpasang-pasangan supaya saling melengkapi antara satu sama lain. Kehidupan tidak akan seimbang jika tiada pasangan, contohnya kejadian atom tidak akan stabil jika cas negatif tidak disertakan dengan cas positif. Ia saling memerlukan untuk menstabilkannya.

Begitu juga dengan manusia, Allah SWT menghadirkan kita di dunia dengan pasangan masing-masing supaya mampu menjadi khalifah di bumi. Kehidupan berpasangan akan membuahkan ketenangan yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Ia membuatkan kita lebih bersemangat untuk bekerja dan beramal ibadah kepada Allah SWT. Tentu ada falsafah dan hikmah di sebalik Allah SWT menciptakan manusia secara berpasangan.

Antaranya untuk menunjukkan kebesaran, kekuasaan dan keindahan ciptaan-Nya. Jika bumi berbukit sahaja tentulah tidak indah. Perlu ada lembah, sungai, laut, padang pasir, rumput, hutan belantara dan sebagainya. Bayangkan jika manusia itu lelaki atau perempuan sahaja di atas muka bumi ini, tentulah sunyi dan jemu serta tidak bercambah keturunan manusia.

Suami pelindung isteri, anak

Walaupun manusia dijadikan sama, tetapi perwatakan lelaki yang gagah, tampan dan kuat sesuai untuk menjadi ketua keluarga, sebagai pelindung kepada isteri dan anak.

Kehidupan berpasangan akan membuahkan ketenangan yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.
Kehidupan berpasangan akan membuahkan ketenangan yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.
Begitu juga dengan manusia, Allah SWT menghadirkan kita di dunia dengan pasangan masing-masing supaya mampu menjadi khalifah di bumi.
Begitu juga dengan manusia, Allah SWT menghadirkan kita di dunia dengan pasangan masing-masing supaya mampu menjadi khalifah di bumi.

Perempuan pula memiliki sifat lemah lembut, cantik, menawan, inginkan perlindungan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Betapa besarnya hikmah penciptaan lelaki dan perempuan. Ia memperindahkan hidup manusia dengan memberi ketenangan, ketenteraman dan kemesraan di samping menjamin kelangsungan zuriat manusia.

Setiap pasangan harus saling lengkap-melengkapi. Suami isteri ibarat pakaian kepada yang lain, menutup kelemahan serta mencari kekuatan dalam diri masing-masing ke arah positif.

Segala kekurangan dan kelemahan pasangan diambil secara positif dan membina. Disebabkan tidak memahami konsep perkahwinan yang saling melengkapi, sering kali berlaku perceraian dengan alasan ‘tiada keserasian’ atau ‘tiada kesefahaman’ lagi.

Saling melengkapi

Konsep saling melengkapi umpama menambah garam ke dalam lauk yang tawar, menambah gula untuk menjadikan air lebih manis. Setiap manusia tidak sempurna, untuk menjadi pelengkap kepada pasangan perlu memperkukuh serta mempersiapkan diri dengan ilmu rumah tangga meliputi aspek fizikal, kerohanian, minda dan emosi.

Tanggungjawab suami dan isteri telah ditentukan oleh syariat Islam dengan jelas. Maka, hubungan antara suami isteri hendaklah dibina atas landasan keadilan, saling menyayangi serta tidak sesekali melangkaui batasan.

Di samping itu, suami isteri harus memiliki sifat ihsan bagi memastikan ahlinya sentiasa melakukan kebaikan walau di mana kerana setiap makhluk berada di bawah pengawasan Allah SWT.