Hidupkan permainan tradisi Brunei

Hidupkan permainan tradisi Brunei

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 19 Nov – Bagi memupuk minat generasi muda untuk mengekalkan warisan dan menghidupkan permainan tradisi Brunei, Bengkel Permainan Tradisi bagi Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kluster 4 telah diadakan di Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman, Bukit Beruang, Tutong, pagi tadi.

Bengkel yang dihadiri lebih 40 pelajar dari Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Sekolah Menengah Muda Hashim dan Sekolah Menengah Tanjong Maya itu adalah bersempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2015 dalam program ‘MuziumKu, WarisanKu’.

Dalam bengkel itu, para pelajar dan guru telah diperkenalkan dan sekali gus terlibat sama dalam mencuba permainan tradisi dalam dan luar seperti permainan salok-salokan, buah lapas-lapas, tilu-tilan, main kaki tiga dan main bilun.

Para pelajar yang turut mencuba beberapa permainan tradisi semasa Bengkel Permainan Tradisi yang diadakan di Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman, Bukit Beruang, Tutong, pagi kelmarin.
Para pelajar yang turut mencuba beberapa permainan tradisi semasa Bengkel Permainan Tradisi yang diadakan di Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman, Bukit Beruang, Tutong, pagi kelmarin.

Antara tujuan bengkel ini adalah untuk mendedahkan kepada para pelajar tentang permainan tradisi dan kebudayaan Brunei serta memelihara permainan tradisi agar tidak dilupakan oleh generasi muda.

Dengan menyasarkan sekolah-sekolah rendah dan menengah, bengkel ini juga dihasratkan akan dapat memperkenalkan muzium-muzium yang terdapat di bawah pentadbiran Jabatan Muzium-muzium.

Sehubungan itu, guru-guru yang ingin mengadakan aktiviti khususnya untuk memperkenalkan lagi permainan tradisi kepada para pelajar mereka, bolehlah menghubungi Jabatan Muzium-Muzium melalui talian 2381672 sambungan perkhidmatan pelajaran atau email info@muzium.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA