Hidupkan syiar Islam melalui tausyeh

Hidupkan syiar Islam melalui tausyeh

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Sebanyak 42 buah kumpulan tausyeh telah berentap dalam Pertandingan Akhir Tausyeh bagi Pegawai Masjid, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid/Muslimah Masjid dan Kumpulan Belia/Beliawanis Masjid anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Harun bin Haji Junid.

Juara bagi Kategori Dewasa disandang oleh Kumpulan Masjid Jefri Bolkiah Kampung Batong, manakala bagi kategori dewasa wanita dimenangi oleh Kumpulan Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Bagi Kategori Belia Masjid pula disandang oleh Kumpulan Masjid Kampung Birau Zon II manakala beliawanis dimenangi oleh Kumpulan Masjid Kampung Danau.

Johan bagi Kategori Pegawai Masjid ketika menerima hadiah.
Johan bagi Kategori Pegawai Masjid ketika menerima hadiah.

Manakala Kategori Pegawai Masjid dimenangi oleh Pegawai Masjid Daerah Brunei Muara.

Pertandingan bertujuan menghidupkan wadah syiar Islam melalui zikir tausyeh dan juga mencungkil bakat dalam kalangan ahli jawatankuasa takmir dan kumpulan belia/beliawanis masjid serta pegawai masjid.

Selain itu, ia juga bertujuan menjadikan masjid sebagai tempat perkumpulan umat Islam segenap lapisan, melahirkan semangat sukakan pelbagai pertandingan bercirikan keIslaman dan mengekal serta menghidupkan lagu-lagu tausyeh agar tidak hilang ditelan zaman.

ARTIKEL YANG SAMA