Hidupkan waktu Maghrib dengan sembahyang Sunat Awwabin

Hidupkan waktu Maghrib dengan sembahyang Sunat Awwabin

minda_logo-indahnya-islam

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

WAKTU di antara dua sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’ adalah antara semulia-mulia dan seafdhal-afdhal waktu untuk dimakmurkan dengan amal ibadat serta menjauhi segala kelalaian dan kebatilan. Oleh kerana itu, elok benar jika ia diisi dengan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti membaca Al-Qur’an, bezikir dan lain-lain seumpamanya. Lupakan hiruk-pikuk dunia dengan segala macam perkara yang melalaikan!

Menurut ulama, antara amalan yang paling afdal dikerjakan pada waktu tersebut ialah mendirikan sembahyang sunat. Sembahyang yang sunat dikerjakan pada waktu tersebut ialah sembahyang sunat Awwabin. Antara para sahabat yang dikhabarkan mengerjakan sembahyang sunat Awwabin ini antaranya ialah ‘Abdullah bin Mas‘ud, ‘Abdullah bin ‘Amru, Salman al-Farisi, ‘Abdullah bin ‘Umar dan Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhum. Apakah dia sembahyang sunat Awwabin itu dan bagaimana kaifiat mengerjakannya?

Siapakah mereka golongan Awwabin itu?

Awwabin bermaksud orang-orang yang bertaubat dan kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, penuh keikhlasan dalam ketaatan mereka terhadap-Nya dan meninggalkan kecenderungan serta dorongan hawa nafsu insani semata-mata keranaNya. Sembahyang ini dinamakan juga dengan nama sembahyang sunat Ghaflah kerana orang-orang yang mengerjakannya bertaubat, mengingati serta kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala tatkala orang lain lalai dari mengingatiNya pada waktu tersebut kerana makan malam ataupun kerana kesibukan menyediakannya, tidur dan sebagainya.

Firman Allah Ta‘ala dalam surah adz-Dzariyat yang tafsirnya: “Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.” (Surah adz-Dzariyat: 17)

Sebahagian ulama berpendapat bahawa ayat ini diturunkan kepada mereka yang menghidupkan waktu di antara dua sembahyang fardhu Maghrib dan ‘Isya’ dengan mengerjakan sembahyang.

Allah Ta‘ala berfirman lagi yang tafsirnya: “Di antara ahli-ahli Kitab itu ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar); mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).” – (Surah Ali’Imran : 113)

Imam Sufyan ats-Tsauri berkata: “Telah dikhabarkan kepadaku bahawa golongan yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah orang-orang yang mengerjakan sembahyang di antara waktu Maghrib dan ‘Isya’.”

Awwabin bermaksud membuat amal ibadat dengan bersembahyang dan menghadap Allah Ta‘ala dan digelarkan ia sembahyang sunat Awwabin kerana pada waktu di antara Maghrib dan ‘Isya’, pada lazimnya jiwa manusia lebih cenderung untuk berehat setelah penat berkerja di siang hari dan sebilangannya pula lebih cenderung pada waktu tersebut untuk menikmati ataupun menyediakan jamuan makan malam.

Kaifiat Sembahyang Sunat Awwabin

Sembahyang sunat Awwabin ialah sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah. Ianya sunat dikerjakan selepas sembahyang fardhu Maghrib dan berakhir dengan masuknya waktu ‘Isya’ dan afdhal sembahyang ini dikerjakan segera setelah selesai sahaja dari mengerjakan zikir-zikir sembahyang fardhu Maghrib berserta Ba‘diyyahnya. Tidak dinamakan sembahyang sunat Awwabin jika ia dikerjakan sebelum mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib, kerana waktu untuk menunaikan sembahyang sunat Awwabin belum lagi masuk, begitu juga jika waktu Maghrib sudah habis kerana waktu sembahyang sunat Awwabin itu mengikut waktu sembahyang fardhu Maghrib.

Begitu juga sunat diqadha jika tidak berpeluang menunaikan dalam waktunya kerana sembahyang sunat Awwabin ini terikat dengan waktu (an-Naflu al-Mu’aqqat). Pada ghalibnya (kebiasaannya), sembahyang sunat Awwabin ini dikerjakan sebanyak enam rakaat, akan tetapi ianya boleh juga dikerjakan sekurang-kurangnya dua rakaat, ataupun empat rakaat, dan sebanyak-banyaknya pula ialah dua puluh rakaat dan lebih baik dikerjakan secara dua-dua rakaat sepertimana zahir sabda Baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya: “Sembahyang (sunat) waktu malam dan siang itu dua-dua rakaat.”(Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Niat Sembahyang Sunat Awwabin

“Sahaja aku sembahyang sunat Awwabin dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

Surah-surah yang diamalkan oleh ulama

Tidak terdapat mana-mana nas hadis shahih mahupun hasan yang menyebutkan tentang surah-surah yang sunat dibaca ketika melakukan sembahyang sunat Awwabin. Kebanyakan hadisnya bertaraf sangat dhaif dan sebilangannya pula maudhu‘ (hadis yang senghaja direka-reka). Bagaimanapun, dalam kitab Fath al-‘Allam disebutkan surah-surah yang diamalkan oleh para ulama, antaranya ialah pada tiap-tiap rakaat selepas membaca surah al-Fatihah dibaca surah al-Ikhlas enam kali, kemudian membaca surah al-Falaq sekali dan kemudian surah an-Nas sekali.

Sebilangan ulama pula membaca ayat al-Kursi atau surah al-Qadr, kemudian membaca surah al-Ikhlas, kemudian membaca surah al-Falaq dan surah an-Nas.

Sebilangannya pula membaca surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan surah al-Ikhlas pada rakaat kedua berdasarkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami yang mengatakan bahawa surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas ini sunat dibaca dalam mana-mana sembahyang sunat yang tidak dikhususkan bacaannya.

Selepas memberi salam, terdapat beberapa amalan doa yang biasa menjadi amalan para ulama, antaranya ialah “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon permeliharaan-Mu atas keimananku di waktu hidupku, dan ketika matiku, dan selepas matiku, maka peliharakanlah ia (imanku) atas diriku. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas tiap sesuatu.” (Tiga kali)

Ertinya: “Ya Allah, aku memohon pemeliharaanMu atas agamaku, maka peliharakanlah ia (agamaku) atas diriku di waktu hidupku, dan ketika matiku dan selepas matiku.” (Tiga kali)

Fadhilat Sembahyang Sunat Awwabin

Banyak hadis yang menjanjikan ganjaran yang indah dan lumayan kepada mereka yang mengamalkan sembahyang sunat Awwabin ini. Akan tetapi, hadis-hadis tersebut kebanyakannya sangat dhaif dan tidak kurang pula yang maudhu‘. Hadis-hadis sebegini tidak boleh dijadikan iktibar apatah lagi sebagai sandaran.

Maka sebagai jalan untuk menjaga kesucian hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam ini, adalah lebih baik dan selamat dalam perkara fadhilat sembahyang sunat Awwabin ini, kita bersandar sahaja kepada hadis-hadis yang benar-benar shahih dan sabit daripada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam mengenai fadhilat sembahyang sunat secara umum. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Rabi‘ah bin Ka‘ab al-Aslami Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah bersabda kepadanya yang maksudnya: “Pohonlah sesuatu (kepadaku). Lalu aku (Rabi‘ah) berkata: Aku memohon kepada Tuan untuk menemani Tuan di syurga. Lalu Baginda bersabda: Ada lagi? Lalu aku (Rabi‘ah) menjawab: Itu sahaja. Baginda bersabda: Bantulah aku (untuk memperbaiki) dirimu dengan memperbanyakkan sujud (sembahyang sunat).”(Hadis riwayat Muslim)

Imam Ahmad pula meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab segala amal perbuatan manusia pada hari qiamat ialah tentang sembahyangnya. Allah berfirman kepada MalaikatNya, sedang Dia Lebih Mengetahui: Periksalah sembahyang hambaKu, apakah cukup ataupun kurang? Kalau cukup catatlah cukup, dan kalau kurang (sembahyang fardhu mereka), maka Allah berfirman lagi: Periksalah adakah hambaKu ini mempunyai amalan (sembahyang) sunat? Jika ternyata terdapat amalan sembahyang sunatnya, lalu Allah berfirman lagi: Cukupkanlah kekurangan sembahyang fardhu hambaKu itu dengan amalan sembahyang sunatnya. Kemudian diperhitungankanlah amal perbuatannya itu menurut cara sedemikian.” (Hadis riwayat Ahmad).