Higuain bantu Juventus benam Sassuolo

Higuain bantu Juventus benam Sassuolo

MILAN, 11 Sept – Gonzalo Higuain meledak dua gol dalam tempoh 10 minit bagi membantu penyandang juara Juventus menang 3-1 ke atas Sassuolo pada aksi Serie A, awal pagi tadi ketika Napoli menewaskan Palermo 3-0.

Napoli yang juga bekas kelab Higuain sudah menjaringkan sembilan gol sepanjang tiga perlawanan musim ini sekali gus melenyapkan kritikan selepas dijangka bergelut kerana menjual penyerang Argentina itu dengan nilai lumayan, AS$90 juta.

Higuain yang menyamai rekod jaringan di Serie A musim lalu dengan 36 gol bersama Napoli ketika kelab itu menamatkan saingan selaku naib juara meletakkan Juventus di depan seawal minit keempat perlawanan menerusi hantaran cantik Paulo Dybala.

Dia kemudian memanfaatkan umpanan cantik Sami Khedira untuk meledak gol kedua peribadinya enam minit kemudian.

Higuain meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya ketika menang 3-1 ke atas Sassuolo. – AFP
Higuain meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya ketika menang 3-1 ke atas Sassuolo. – AFP

Seorang lagi pemain baru Juventus, Miralem Pjanic yang dipancing dari AS Roma menjaringkan gol ketiga pada minit ke-27 untuk sebelum Luca Antei menjaringkan gol tunggal Sassuolo pada minit ke-33.

Kemenangan memberikan Juventus sembilan mata hasil tiga kemenangan berturut-turut.

Dalam pada itu, Marek Hamsik meletakkan Napoli di depan pada aksi di Palermo untuknya mengatasi rekod jaringan legenda, Diego Maradona yang menjaringkan 81 gol pada aksi Serie A bersama kelab itu sebelum ini.

Penyerang Sepanyol, Jose Callejon meledak dua lagi gol selepas itu dengan kekalahan meletakkan jurulatih baru Palermo, Roberto De Zerbi memulakan kariernya bersama kelab itu dengan langkah kiri. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA