Higuain digugurkan, Dybala tersenarai

Higuain digugurkan, Dybala tersenarai

BUENOS AIRES, 24 Sept (Reuters) – Penyerang Gonzalo Higuain digugurkan daripada skuad kebangsaan Argentina bagi dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 manakala penyerang Juventus, Paulo Dybala pula disenarai buat pertama kali.

Higuain mengharungi kempen mengecewakan di Copa America, Julai lalu apabila hanya meledak dua gol sepanjang kejohanan malah gagal menyempurnakan penalti ketika Argentina tumbang kepada Chile di final.

Penyerang kelab Napoli itu turut tidak tersenarai ketika Argentina mengharungi kempen persahabatan antarabangsa di Amerika Syarikat, bulan ini bertemu Bolivia dan Mexico akibat masalah perut.

Dybala dalam pada itu melalui kempen cemerlang musim lalu bersama Palermo dalam Serie A sebelum dipikat gergasi, Juventus musim panas lalu dan sudah meledak tiga gol dalam lima penampilan setakat ini.

Higuain berjaya meledak dua gol ketika Napoli mencatat kemenangan 5-0 ke atas Lazio, Ahad lalu namun jurulatih, Gerardo Martino berkata dia tidak memilih pemain berdasarkan satu perlawanan.

Gonzalo Higuain dicantas daripada skuad Argentina. – AFP
Gonzalo Higuain dicantas daripada skuad Argentina. – AFP

“Senarai ini disediakan sebelum itu,” kata Martino. “Kita tidak boleh melihat kepada satu minggu saja, kami perlu melihat kepada keseluruhan proses.”

Begitupun, bekas penyerang Juventus, Carlos Tevez yang kini beraksi bersama kelab Boca Juniors disenaraikan sekalipun mencetus kontroversi membabitkan insiden ketika pertembungan liga, Sabtu lalu yang menyaksikan pemain lawan patah kaki.

Argentina yang muncul selaku naib juara pada 2014 dijadualkan bertemu Ecuador di laman sendiri pada 8 Oktober sebelum melawat Paraguay lima hari kemudian di laman lawan.

Untuk penjaga gol, Argentina membariskan Sergio Romero (Man United), Nahuel Guzman (UANL Tigres) dan Agustin Marchesin (Santos Laguna)

Barisan pertahanannya pula terdiri daripada Pablo Zabaleta (Man City), Nicolas Otamendi (Man City), Martin Demichelis (Man City), Emmanuel Mas (San Lorenzo), Marcos Rojo (Man United), Facundo Roncaglia (Genoa), Ezequiel Garay (Zenit), Milton Casco (Newell’s Old Boys) dan Ramiro Funes Mori (Everton).

Bahagian midfield pula menempatkan Javier Mascherano (Barca), Lucas Biglia (Lazio), Angel Di Maria (PSG), Javier Pastore (PSG), Ever Banega (Sevilla), Roberto Pereyra (Juventus) dan Enzo Perez (Valencia)

Jentera serangan Albiceleste pula diketuai oleh Lionel Messi (Barca), Paulo Dybala (Juventus), Sergio Aguero (Man City), Carlos Tevez (Boca Juniors), Nicolas Gaitan (Benfica), Angel Correa (Atletico) dan Ezequiel Lavezzi (PSG).

ARTIKEL YANG SAMA