Higuain wira Napoli

Higuain wira Napoli

ROM, 15 Mei (AFP) – Gonzalo Higuain mencetak hatrik untuk merakam rekod sepanjang zaman Serie A dalam semusim dengan 36 gol apabila Napoli menang besar 4-0 ke atas Frosinone, awal pagi tadi.

Ia sekali gus menamatkan kedudukan Napoli di tempat kedua liga dan memperoleh tiket untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah.

Roma pula di tempat ketiga liga walaupun mencatat kemenangan 3-1 di AC Milan selepas terpaksa akur dua mata di belakang pencabarnya itu, sekali gus perlu mengharungi pusingan kelayakan Liga Juara-Juara.

Pasukan juara, Juventus yang mengesahkan gelaran Serie A kelima berturut-turut bulan lalu, menutup kempen dengan membelasah Sampdoria 5-0 di Turin hasil dua jaringan Paulo Dybala, selepas pelawat beraksi dengan 10 pemain.

Aksi Higuain ketika meraikan jaringan pada perlawanan menentang Frosinone di Stadium Naples San Paolo, Itali, kelmarin. Higuain mencetak hatrik untuk merakam rekod sepanjang zaman Serie A dalam semusim dengan 36 gol. - AFP
Aksi Higuain ketika meraikan jaringan pada perlawanan menentang Frosinone di Stadium Naples San Paolo, Itali, kelmarin. Higuain mencetak hatrik untuk merakam rekod sepanjang zaman Serie A dalam semusim dengan 36 gol. – AFP

Ia menyaksikan baki tempat ke pentas Eropah untuk musim depan semuanya terjawab, dan tuah menyebelahi Napoli serta Sassuolo selepas masing-masing menyambar slot ke Liga Juara-Juara dan Liga Europa.

Roma, naib juara dua musim lalu, bertandang ke Milan untuk mencari kemenangan sambil berharap Napoli tewas di laman sendiri.

Walaupun gol daripada Mohamed Salah, Stephen El Shaarawy dan Emerson, dengan Carlos Bacca menyumbat gol sagu hati buat Rossoneri, ia tidak mencukupi buat anak-anak buah Luciano Spalletti.

ARTIKEL YANG SAMA