Higuan bantu Juventus, Roma langkah kanan

Higuan bantu Juventus, Roma langkah kanan

ROME, 21 Ogos – Gonzalo Higuain membayar bahagian pertama pelaburan besar Juventus untuk yuran perpindahan $102 juta (RM409 juta) apabila membantu gergasi Itali itu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Fiorentina dalam aksi pembukaan Serie A, awal pagi hari ini.

Ia adalah permulaan sempurna kepada usaha Juventus merekodkan gelaran liga keenam berturut-turut terhadap lawan yang menamatkan saingan di kedudukan kelima musim lalu.

Roma turut membuka kempen dengan noktah cemerlang, apabila membelasah Udinese 4-0 hasil pesta jaringan babak kedua di Stadio Olimpico di Rome.

Higuain tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama Juventus kerana dianggap tidak cergas sepenuhnya.

Begitupun, selepas dikeluarkan daripada bangku simpanan, dia mengesahkan tiga mata buat penyandang juara itu dengan sentuhan penyudah menarik, walaupun dalam keadaan berat badannya yang sedikit menaik.

“Saya sangat gembira untuk membuat penampilan sulung dengan noktah kemenangan dan gol,” katanya. “Kami perlu meneruskan prestasi ini. Ia adalah amat penting untuk memulakan saingan dengan kemenangan.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA