Higuan ledak gol ke-24

Higuan ledak gol ke-24

MILAN, 8 Feb – Gonzalo Higuain meledak gol ke-24 dalam saingan Serie A dengan Napoli dan Juventus semakin hampir merebut kejuaraan liga selepas pencabar terdekat, Inter Milan dan Fiorentina semakin jauh ketinggalan.

Higuain dan Napoli yang mengalami proses transformasi di bawah kendalian Maurizio Sarri memerlukan sepakan penalti yang disempurnakan penyerang Argentina itu untuk menewaskan Carpi 1-0 yang beraksi dengan 10 pemain.

Kemenangan ke-17 Napoli itu membolehkan mereka mempunyai kelebihan dua mata di depan Juventus yang turut mencipta kemenangan 2-0 ke atas Fronisone menerusi jaringan Juan Cuadrado dan Paulo Dybala.

Napoli yang kini mengejar kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 26 tahun bakal berkunjung ke Juventus minggu depan dengan hasrat mahu menghadiahkan kekalahan kali kedua ke atas juara liga musim lalu itu.

Kemenangan ke atas Juventus akan meletakkan Napoli lima mata unggul di persada liga sekali gus mengukuhkan peluang merangkul kejuaraan tanpa bantuan legenda mereka, Diego Maradona yang memenangi kejuaraan itu dua dekad lalu.

Higuain meraikan kejayaan selepas berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Carpi. – Reuters
Higuain meraikan kejayaan selepas berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Carpi. – Reuters

Namun, Higuain dan Sarri hanya memandang ringan aksi membabitkan Juventus itu dan Higuan memberitahu, “Ia bukannya perlawanan paling penting musim ini, ia sama seperti perlawanan menentang pasukan lain.”

Sarri pula berkata, “Pastinya tidak bermakna jika kami fikir perlawanan itu bakal menjadi penentu kejuaraan kerana masih banyak lagi perlawanan yang perlu kami hadapi dengan apa-apa sahaja boleh berlaku.”

“Kami perlu gembira kerana Juventus menganggap kami sebagai pencabar mereka tetapi kami akan ke sana untuk bermain mengikut cara kami dan menghormati penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan,” tambah Sarri.

Penyokong Napoli berkunjung ke Stadium San Paolo dengan memakai topeng memaparkan muka Kalidou Koulibaly selepas pertahanan Senegal itu diejek dengan sorakan berunsur perkauman pada aksi menentang Lazio pertengahan minggu lalu.

Situasi itu membuatkan Koulibaly terharu dan menyatakan ia adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA