Hijrah cendekiawan berterusan

Hijrah cendekiawan berterusan

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) – Isu penghijrahan cendekiawan mungkin akan terus dibahaskan berikutan kebanyakan generasi muda di negara ini meluahkan hasrat bekerja di luar negara, demikian menurut kajian ‘Youth Perspective’.

Kajian yang dijalankan oleh Perspective Strategies Sdn Bhd melibatkan 2,021 mahasiswa dan pelajar tingkatan enam dari seluruh negara.

Ia menunjukkan 70.4 peratus responden mahu bekerja di negara lain.

Sebanyak 45.2 peratus memberi alasan politik dan sosial sebagai faktor mahu berbuat demikian manakala 43.6 peratus menyatakan bidang khusus kerjaya terutama dalam sains dan kejuruteraan yang hanya ada di luar negara; dan 42.1 peratus pula memberi sebab prospek kerjaya tidak bagus.

Pengarah Urusan Perspective Strategies, Andy See Teong Leng berkata sekalipun keinginan golongan muda ini untuk berhijrah adalah kuat, mereka turut menyatakan hasrat kembali ke Malaysia dari segi jangka panjang.

“Walau di mana juga berada, hati tetap akan ingat kampung halaman,” katanya pada pelancaran hasil kajian, di sini hari ini.

See berkata syarikat perlu menyediakan persekitaran pekerjaan yang interaktif dan inovatif bagi menarik dan mengekalkan bakat tempatan.

Perspective Strategies merupakan perunding penglibatan pihak berkepentingan.

Ia menjalankan kajian itu dengan kerjasama AIA Bhd, Nippon Paint Malaysia Group, Centre for Strategic Engagement dan AIESEC di Malaysia.

Kajian itu yang dijalankan antara Januari dan Mac tahun ini menumpukan kepada tiga bidang iaitu tabiat penggunaan media, tabiat berbelanja, serta penilaian generasi muda terhadap bakat mereka dan peluang kerjaya.

Gaji dan faedah merupakan faktor utama yang mempengaruhi rakyat Malaysia ketika mencari pekerjaan diikuti peluang maju dalam kerjaya dan waktu bekerja anjal.

Kajian juga menunjukkan 75.6 peratus generasi muda Malaysia tidak mempunyai insurans selain wujud keperluan untuk mempertingkatkan aspek celik kewangan dalam kalangan generasi ini.

ARTIKEL YANG SAMA