Hijrah seorang anggota polis wanita

Hijrah seorang anggota polis wanita

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 5 Mei – Tatkala umat Islam menyambut Israk Mikraj, seorang anggota Polis Wanita dari Daerah Polis Tutong juga menjadikan hari mulia ini sebagai suatu penghijrahannya kepada seorang Muslimah setelah melafazkan dua kalimah syahadah.

WPC Dayang Ros Erahafidah @Jubli binti Abdullah yang berbangsa Dusun telah melafazkan ikrar pengislamannya pada majlis yang berlangsung di rumah bapanya di Kampung Biong Pancuran Layong, Tutong, petang tadi.

Hadir menyaksikan majlis pengislaman itu ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit serta Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor berserta isteri, Datin Hajah Rosminah binti Haji Abdul Hamid.

Dayang Ros Erahafidah, 23, ketika ditemu bual memberitahu, beliau telah lama berniat memeluk Islam sejak di bangku sekolah lagi, di mana terdapat pelajaran agama dan dari sana beliau menghayati serta meminati agama Islam.

Beliau yang merupakan anak kedua daripada enam orang adik-beradik dan merupakan anak pertama memeluk agama Islam, berharap adik-beradiknya yang lain akan mengikuti jejak langkahnya.

Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman (kanan); Yang Berhormat Haji Ramli (tiga, kanan); Dato Paduka Seri Haji Bahrin (dua, kanan) dan Haji Adanan (kiri) ketika hadir pada Majlis Pengislaman itu.
Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman (kanan); Yang Berhormat Haji Ramli (tiga, kanan); Dato Paduka Seri Haji Bahrin (dua, kanan) dan Haji Adanan (kiri) ketika hadir pada Majlis Pengislaman itu.
Datin Hajah Rosminah menyampaikan cenderahati dari Badan Ugama Islam Pasukan Polis Diraja Brunei kepada WPC Dayang Ros Erahafidah @Jubli binti Abdullah.
Datin Hajah Rosminah menyampaikan cenderahati dari Badan Ugama Islam Pasukan Polis Diraja Brunei kepada WPC Dayang Ros Erahafidah @Jubli binti Abdullah.

Katanya, kedua-dua ibu bapanya bersetuju dan tidak menghalang mereka selepas mendapat pekerjaan untuk memilih Islam sebagai agama mereka.

Beliau berharap setelah memeluk Islam, beliau akan dapat lebih mendalami dan mempelajari Islam bersama Pusat Dakwah Islamiah cawangan Daerah Tutong, yang mana kursus saudara baru akan bermula 7 Mei ini dan berlangsung selama 10 hari.

Katanya lagi, bersempena Sambutan Israk Mikraj ini, beliau akan dapat berhijrah ke arah yang lebih baik dan mendoakan agar beliau akan diberi petunjuk dan hidayah.

Majlis pengislamannya telah pun disempurnakan oleh pegawai dari Bahagian Dakwah Daerah Tutong dan diikuti dengan penyampaian cenderahati daripada Badan Ugama Islam Pasukan Polis Diraja Brunei yang disampaikan oleh Datin Hajah Rosminah.

Majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban oleh Muslimah Masjid Hassanal Bolkiah Tutong dan diikuti dengan menabur bunga rampai.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adanan bin Haji Adam.

Setakat ini, Unit Pengislaman, Pejabat Bahagian Daerah Tutong telah mencatatkan seramai 58 orang saudara baru yang telah memeluk agama Islam di Daerah Tutong sejak awal tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA