Hiliran minyak & gas kekal rancak di wilayah Iskandar

Hiliran minyak & gas kekal rancak di wilayah Iskandar

SINGAPURA, 26 Jan – Aktiviti hiliran sektor minyak dan gas (O&G) dijangka terus rancak di wilayah Iskandar biarpun berdepan kejatuhan harga minyak-mentah di pasaran dunia.

“Aktiviti hiliran merupakan input kepada beberapa sektor yang dipromosikan di wilayah ini,” kata Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Beliau ditemui di luar Forum Pembangunan Bandar Raya Eko dan sidang media Forest City Global, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata minyak dan gas adalah di bawah sektor pembuatan yang menyumbang 30 peratus daripada pelaburan komited di wilayah Iskandar.

Malah, wilayah ekonomi di selatan tanahair itu berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM189 bilion sejak diwujudkan pada 2006 sehingga November 2015.

Beliau turut menegaskan, wilayah Iskandar tidak akan terjejas walaupun pengeluar minyak negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengurangkan perbelanjaan pengurusan dan modalnya.

Laporan sebelum ini menyatakan Petronas akan mengurangkan perbelanjaan modal dan operasinya sebanyak RM50 bilion bagi tempoh empat tahun akan datang berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Ismail berkata, Iskandar mendapat tempias daripada pembangunan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak & Petrokimia (RAPID) Pengerang Johor oleh Petronas, walaupun projek berkenaan di luar wilayah itu.

Ini berikutan Iskandar menyediakan kawasan bagi penyimpanan minyak dan gas sebelum dijual, katanya.

Adalah difahamkan, RAPID menjurus kepada aktiviti penapisan dan bukannya pemprosesan minyak dan kesan penurunan harga minyak dan gas itu juga terhad.

Sementara itu, pendapat sama turut dikongsi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pembuatan dan Perkhidmatan I Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Phang Ah Tong, yang menyifatkan segmen hiliran minyak dan gas mendapat manfaat akibat kemelut harga minyak mentah global itu.

“Kos bahan mentah jauh lebih murah, khususnya bagi mereka yang terbabit dalam industri plastik.

“Memandangkan industri plastik tempatan banyak bergantung kepada eksport, inilah masanya untuk meraih keuntungan kerana kos mereka dalam ringgit sedangkan jualan dalam dolar Amerika Syarikat,” katanya.

Ketika ini, dilaporkan ada sekurang-kurangnya 1,200 syarikat pengeluar plastik di serata negara ini, mempunyai seramai kira-kira 80,000 pekerja.

Pada 2014, industri plastik Malaysia mencatat perolehan berjumlah RM19.37 bilion dengan 62 peratus atau RM11.94 bilion produk siapnya adalah dieksport. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA