Hina Pancasila antara punca Indonesia henti kerjasama

Hina Pancasila antara punca Indonesia henti kerjasama

JAKARTA, 5 Jan – Sikap tidak beretika tenaga pengajar tentera Australia menghina Pancasila Indonesia dengan menyebutnya “Pancagila” adalah antara punca Tentera Nasional Indonesia (TNI) menghentikan sementara semua bentuk kerjasama ketenteraan dengan Australia.

Panglima TNI Jeneral Gatot Nurmantyo berkata kejadian itu berlaku semasa pegawai daripada Angkatan Darat TNI mengikuti kursus di Rejimen Perkhidmatan Udara Khas Australia.

“Terlalu menyakitkan sehingga tidak perlu dijelaskan,” katanya seperti dipetik oleh beberapa media dalam talian tempatan hari ini.

Katanya perkara lain yang turut disentuh dalam kursus itu ialah kemerdekaan Timor Leste dan tuntutan kemerdekaan oleh Papua.

Beliau berkata perkara sedemikian tidak harus dijadikan bahan pendidikan kepada anggota TNI yang telah disemat dengan semangat mencintai ideologi bangsa dan negara.

Semalam TNI mengeluarkan kenyataan bahawa Indonesia telah menggantung kerjasama ketenteraan dengan Australia dan semua bentuk kolaborasi termasuk latihan ketenteraan, program pendidikan serta pertukaran dihentikan sejak bulan lepas.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo memberitahu sidang media hari ini bahawa  isu tersebut tidak menjejaskan hubungan Indonesia dan Australia.

Katanya beliau juga telah mengarahkan Menteri Pertahanan Indonesia dan TNI menyelesaikan kemelut tersebut.

Indonesia pernah menggantung latihan ketenteraan dengan Australia pada 2013 apabila mendakwa perisik Australia cuba mencuri dengar perbualan telefon Presiden Indonesia ketika itu Susilo Bambang Yudhoyono. – Bernama