Hindar perkara tidak bermanfaat

Hindar perkara tidak bermanfaat

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Bagi menghindari para belia daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat kepada diri sendiri atau kepada agama, masyarakat dan negara, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Unit Keugamaan & Kerohanian, Majlis Perwakilan Pelajar mengadakan Program ‘Awakening The Ummah’ bertema ‘Hamasah Asy-Syabab’.

Program empat hari berkenaan telah dirasmikan oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal pada majlis yang berlangsung di Auditorium UNISSA, pagi tadi.

Turut hadir ialah para pegawai utama, dekan-dekan dan timbalan dekan, para pensyarah, kakitangan, serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

Program berkenaan turut mengetengahkan petak-petak keagamaan yang dikelolakan oleh fakulti-fakulti UNISSA, petak jualan dan petak makanan.

Menurut kenyataan UNISSA, dengan adanya program ini, ia diharap dapat membantu dalam melawan segala anasir-anasir jahat yang menyerang cara pemikiran seseorang belia sama ada secara zahir ataupun tidak.

Dr. Haji Norarfan (enam kiri) bergambar ramai bersama warga UNISSA yang hadir pada program itu.
Dr. Haji Norarfan (enam kiri) bergambar ramai bersama warga UNISSA yang hadir pada program itu.
Pengunjung yang hadir diberikan penerangan di salah sebuah petak keagamaan.
Pengunjung yang hadir diberikan penerangan di salah sebuah petak keagamaan.

Para mahasiswa dan mahasiswi UNISSA juga dapat mempraktikkan ilmu-ilmu yang telah disampaikan kepada mereka dalam kelas untuk dikongsikan bersama orang ramai dengan cara yang betul agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Antara objektif program ini adalah bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir, di samping menyahut visi dan misi UNISSA.

Selain itu, ia juga diharap melibatkan para mahasiswa untuk bergiat aktif dan kreatif dalam mengadakan program-program berunsur keagamaan, serta memberikan pendedahan awal kepada para mahasiswa dan mahasiswi dalam aktiviti-aktiviti yang berunsur keagamaan.

ARTIKEL YANG SAMA