Hindari aktiviti pembakaran terbuka

Hindari aktiviti pembakaran terbuka

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 17 Jan – Penduduk di sekitar Daerah Belait dinasihatkan agar menjauhi sebarang aktiviti pembakaran terbuka ketika musim kemarau melanda ketika ini.

Saranan ini dibuat oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin ketika ditemu bual hari ini, berikutan pemerhatian wartawan Media Permata apabila mendapati beberapa kawasan rumput yang telah dipotong di tepi jalan kawasan Kampung Pandan terdapat kesankesan hangus seolah-oleh dibakar oleh orang atau pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Apa yang mahu ditekankan di sini ialah semua harus bertanggungjawab menjaga persekitaran kita. Ketika musim panas yang terik, sebarang pembakaran mahupun kecuaian daripada membuang puntung rokok di tepi jalan boleh menyebabkan kebakaran,” kata Yang Berhormat ketika menjelaskan risiko akibat perbuatan tersebut.

Beliau menambah, terdapat segelintir penduduk yang menyalakan gas api pada waktu malam dan membiarkannya sepanjang malam untuk membakar sampah sarap di kawasan rumah mereka.

Aktiviti pembakaran terbuka di kawasan perumahan Kampung Pandan.
Aktiviti pembakaran terbuka di kawasan perumahan Kampung Pandan.
Kesan pembakaran rumput-rumput kering di tepi jalan.
Kesan pembakaran rumput-rumput kering di tepi jalan.

“Perbuatan sebegini juga tidak bagus, membazir dan dikhuatiri boleh mendorong kepada berlakunya jerebu,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam temu bual bersama Pegawai Pemerintah Bomba dan Penyelamat Daerah Belait Cawangan B, Mohd Shareeni Haji Mohd Yussof berkata, pihaknya mengesyaki kesan-kesan hangus yang dapat dilihat itu terjadi akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab, berkemungkinan kerana kecuaian membuang puntung rokok sesuka hati.

Katanya, sebarang aktiviti pembakaran di tepi jalan berhampiran dengan kawasan perumahan boleh berpotensi menyebabkan kebakaran.

Beliau juga menegaskan kepada orang ramai agar berwaspada terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka dan melaporkannya kepada pihak yang berwajib.

Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pandan A, B dan C ketika dihubungi juga berpendapat bahawa masalah rumput kering yang dibakar berkemungkinan hasil kerja mereka yang tidak bertanggungjawab.

Justeru, pengawasan kejiranan akan dipertingkatkan untuk menghindari perkara sebegini daripada berlaku lagi.

ARTIKEL YANG SAMA