Hindari berprasangka buruk

Hindari berprasangka buruk

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 4 Mac – Umat Islam sentiasa dituntut untuk berfikiran positif, menghindari diri daripada berprasangka buruk dan negatif serta bersemangat waja dan sabar dalam menempuh kehidupan harian yang penuh cabaran, dugaan dan rintangan.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan perkara itu sambil menambah bahawa segala dugaan yang dihadapi merupakan kudrat atau lumrah dalam kehidupan manusia, selain ujian daripadaNya untuk mengenalpasti keimanan hambaNya dalam amal ibadah mereka di dunia ini.

Menurut Khatib lagi, Allah S.W.T menuntut hambaNya berfikiran positif dan menjauhi daripada bersangka buruk ke atas sesama manusia kerana prasangka itu adalah satu dosa begitu juga mencari kesalahan orang lain serta mengumpat yang menurut firman Allah S.W.T lagi, seperti memakan daging saudaranya yang mati.

Maka hendaklah mereka bertakwa kepada Allah S.W.T dan bertaubat daripada perbuatan yang keji itu.

Agama Islam juga menganjurkan umatnya bersangka baik dalam kehidupan, sejajar dengan pesanan ulama, bahawa jika bertemu sesama saudara Islam seusia, yakinlah bahawa dia lebih baik daripada kita dan anggaplah dia lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah S.W.T, begitu juga jika bertemu dengan anak kecil, anggaplah dia lebih baik daripada kita kerana anak-anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diri kita telah banyak bermaksiat kepadaNya.

Sementara jika bertemu orang tua, maka anggaplah bahawa dia sudah beribadah kepada Allah S.W.T lebih lama daripada kita, begitu juga jika bertemu dengan orang bijak pandai, maka anggaplah dia memperolehi kurnia yang tidak kita perolehi, mencapai kedudukan yang tidak pernah kita capai dan mengetahui lebih banyak dan mengamalkannya lebih daripada kita.

“Manakala jika bertemu dengan seseorang yang bodoh, maka katakanlah bahawa orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu) sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya.

“Dan jika bertemu orang kafir, maka katakanlah dalam hati, bahawa aku tidak tahu keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh, dan mungkin boleh jadi di akhir usiaku kufur dan bertambah buruk,” ujar khatib.

Rasulullah S.A.W juga menyanjungi seseorang mukmin yang berfikiran positif dalam segala aspek kehidupannya, yang sentiasa memandang baik sekelilingnya, bersyukur apabila mendapat kebaikan dan bersabar apabila ditimpa keburukan, jelas khatib.

Menurut Khatib lagi, bersangka buruk boleh menjadi penghalang kepada hubungan sesama manusia kerana ia mencetuskan pelbagai masalah seperti hasad dengki, cemburu dan sebagainya terutamanya dalam kalangan jiran tetangga dan rakan sekerja mahu pun keluarga sehingga menimbulkan perselisihan dan fitnah yang akhirnya memecahbelahkan silaturahim sesama manusia.

Khatib turut menitipkan pesan agar umat Islam membuang sifat bersangka buruk dalam diri mereka, kembali kepada ajaran Islam sebenar dengan memperbanyakkan istigfar dan bertaubat kepada Allah S.W.T kerana manusia tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan dan dosa.

ARTIKEL YANG SAMA